Naib Presiden PKR Tian Chua mengecam tindakan anggota parti yang menurutnya "berlumba-lumba" menunjukkan sokongan kepada pemimpin-pemimpin tertentu, di tengah-tengah pergeseran antara pemimpin tersebut.

Beliau berkata tindakan itu hanya memburukkan lagi konflik dan tidak membawa kebaikan kepada PKR.

"Ada unsur dalam parti yang secara melampau menunjukkan sokongan kepada seseorang pemimpin atau pemimpin yang lain.

"Secara sedar atau tidak, sesetengah penyokong mahu berlumba antara satu sama lain dan meningkatkan ketegangan dalam parti.

"Tanpa mengira apa motif mereka, tindakan itu hanya menyemai prasangka dan konflik antara pemimpin berebza. Malangnya ia telah menjejaskan kesatuan parti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beberapa minggu mutakhir, sejumlah pemimpin parti itu mengeluarkan kenyataan bagi menyuarakan sokongan mereka sama ada terhadap presiden, Anwar Ibrahim, atau timbalannya, Mohamed Azmin Ali.

Tian Chua mengingatkan anggota PKR bahawa musuh parti itu, Pakatan Harapan dan agenda reformasi sedang menunggu masa untuk menggunakan keadaan itu, dan perpecahan PKR akan mengundang "campur tangan luar yang boleh membawa kepada kemusnahan".

"Akhir-akhir ini, tampak ada agenda jahat dengan niat mewujudkan kekeliruan awam terhadap PKR. Media tertentu juga sengaja mewujudkan persepsi bahawa PKR berpecah-belah dan malah menuju kehancuran.

"PKR adalah salah satu tonggak PH. Pergolakan dalam parti akan memberi kesan kepada kestabilan dan prestasi kerajaan. Sikap rasional dan saling menghormati perlu mengatasi mobilisasi kepuakan yang emosional," katanya lagi.

Katanya lagi, perbezaan dalam kepimpinan dan akar umbi PKR tak dapat dielakkan tetapi bukan alasan untuk sesiapa mewujudkan prasangka berkenaan kesetiaan dan mengapi-apikan pergeseran antara pemimpin.

Tindakan itu tidak memberi kebaikan kepada parti dan hanya menjejaskan kewibawaan Anwar sebagai presiden, katanya lagi.

"Justeru saya ingin sekali lagi menyatakan pendirian saya - sebagai anggota PKR saya memberi sokongan penuh kepada Anwar untuk menjalankan mandatnya sebagai presiden dan kemudian memimpin negara seperti konsensus PH.

"Sementara itu menjadi tanggungjawab saya untuk menjaga dan mempertahan kesatuan presiden, timbalan presiden dan kepimpinan nasional secara keseluruhan. Saya tak akan benarkan sesiapa dengan niat jahat memusnahkan kesatuan ini," katanya lagi.

'Pemilihan dah lama habis'

Beliau berkata pemilhan PKR sudah lama selesai dan tiba masanya untuk mengenepikan persaingan antara puak.

"Kita perlu terima keputusan anggota, memberi sokongan tak berbelah bahagi kepada presiden dan timbalan presiden. Kini masa pemulihan dan membina semula rasa percaya di kalangan pemimpin.

"PKR adalah parti komponen terbesar dalam PH dan menggalas beban berat di bahu. Kita tak boleh biarkan kontradiksi dalaman untuk berterusan," katanya lagi.

Pergeseran antara Anwar dan Azmin dilihat semakin memburuk sejak timbulnya isu video seks yang mengaitkan Azmin bulan lalu.

Minggu lalu, Anwar berkata Azmin perlu meletakkan jawatan jika video seks yang mengaitkannya itu dibuktikan benar, dan Azmin membalasnya dengan memintanya untuk “cermin diri sendiri”.

Bagaimanapun Anwar dilihat mengendurkan pendiriannya ketika pemukiman PKR selepas itu dan mengatakan mereka berdua masih satu pasukan.