Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Ketika perselisihan antara Presiden PKR, Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali, semakain memuncak sekumpulan enam pengerusi negeri parti itu hari ini tampil untuk menyatakan sokongan mereka kepada Anwar.

Pada satu sidang akhbar di ibu pejabat parti itu, enam daripada mereka iaitu Johari Abdul (Kedah), Amran Kamarudin (Perlis), Halim Bachik (Melaka), Azan Ismail (Terengganu), Zahir Hassan (Wilayah Persekutuan), dan Mohamad Supardi Md Noor (Kelantan) - mengumumkan pembentukan Majlis Pengerusi Pimpinan Negeri PKR.

Koordinator majlis itu Johari Abdul berkata beliau yakin bahawa lapan lagi daripada 14 pengerusi negeri akan menandatanganinya pada perjumpaan di Port Dickson bersama Anwar, petang ini.

"Majlis Pengerusi PKR Negeri dalam satu mesyuarat hari ini mengambil ketetapan berikut.

"Pertama, Kami menyokong menyokong penuh usaha keras presiden untuk membangunkan parti dan menjadikan PKR parti yang kuat dan dihormati di negara ini.

"Kami berdiri teguh di belakang beliau dalam menghadapi apa jua cabaran dan dugaan jika ada usaha pihak-pihak yang mahu melemahkan parti. Kami memberi komitmen tanpa belah bahagi kepada beliau dalam usaha beliau memimpin negara ke tahap yang diharapkan oleh rakyat.

"Kami yakin Anwar seorang pemimpin yang akan menunaikan janji-janji parti kepada rakyat semasa pilihan raya yang lalu dan kami akan bersama-sama beliau untuk pastikan semua ini terlaksana," kata Johari, yang membaca kenyataan akhbar majlis itu.

Kumpulan itu walau bagaimanapun menafikan bahawa majlis yang ditubuhkan hari ini adalah tindak balas kepada tindakan 27 pemimpin kanan bersama 14 anggota parlimen PKR yang mendesak Anwar supaya berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah-belahkan parti.

Malah, kata Johari, sidang media itu tiada kena-mengena dengan konflik dalaman yang berlaku dalam parti.

Sebaliknya, tumpuan adalah kepada pembangunan dan masalah yang dihadapi rakyat di setiap negeri pimpinan.

"Majlis presiden yang diketuai negeri untuk jamin kesinambungan masing-masing dan rakyat yang harapkan pembangunan menyeluruh untuk negeri.

"Kami tengok dalam manifesto ada benda yang kita tak buat lagi. Di bawah sana (rakyat) amat harapkan kita," katanya.

Kenyataan bersama yang menyokong Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali semalam terdiri daripada 14 ahli parlimen dan lapan Adun dari PKR.

Mereka berkata Anwar perlu segera menggembleng perpaduan anggota parti demi keutuhan PKR, Pakatan Harapan dan negara.

Pada masa sama, mereka menegaskan untuk bersama dengan Azmin, yang kini dikaitkan dengan klip video seks melibatkan hubungan asmara sejenis.


Lihat Komen
ADS