Umno bukan macam hotel, kata Ismail Sabri
Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakib mendedahkan beberapa wakil rakyat Umno yang meninggalkan parti itu sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk membuat pusingan U.
Kata anggota Parlimen Bera itu, Umno memang bersikap terbuka dan sedia menerima mereka semula.
Namun beliau mengingatkan bekas anggota Umno itu tidak boleh berharap untuk mendapat semula jawatan yang disandang dalam parti itu sebelum ini.
“Di Sabah, seorang sudah berbuat demikian (bekas ketua Umno Papar, Rahim Ismail). Kami setuju untuk menerima mana-mana orang yang mahu pulang ke Umno, tetapi parti ini ada peraturan tersendiri.
“Mereka yang pergi dan ingin kembali perlu mohon semula menjadi ahli Umno.
"Walaupun pernah memegang jawatan tinggi di peringkat bahagian atau cawangan, mereka tidak akan diberi layanan istimewa.
“Umno bukan hotel yang kamu boleh masuk dan keluar pada bila-bila masa," katanya seperti dipetik FMT hari ini.
Ismail Sabri menambag bekas wakil rakyat Umno berkenaan mesti mematuhi peraturan parti.
"Kita tak tutup pintu pada mana-mana orang. Umno terbuka untuk semua orang Melayu dan Bumiputera. Sesiapa sahaja boleh sertai kami,” katanya.
Bagaimanapun, Ismail enggan mendedahkan nama-nama lain yang didakwanya akan menyertai parti itu semula kerana melihat ia masih terlalu awal.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-14 dan menyaksikan kekalahan Umno, kedudukan kerusi dari parlimen melihat perubahan dari masa ke semasa, apabila beberapa wakil rakyat pembangkang meninggalkan parti dan menjadi ahli bebas atau menyertai PH.

