Malaysiakini
BERITA

Dr M perlu jadi PM hingga akhir penggal - Azmin

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jul 2019, 5:21 pagi

Menteri ekonomi Azmin Ali berkata Dr Mahathir Mohamad perlu diberi peluang memimpin hingga ke akhir penggal bagi menjamin kestabilan, kesinambungan dan ketuntasan dasar-dasar kerajaan.

Beliau berkata demikian bagi mengalu-alukan kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menegaskan pendirian parti itu dan sekutunya Umno kepada Mahathir.

“Pendirian tersebut adalah seiring pandangan yang pernah saya lontarkan supaya usaha mengembalikan kegemilangan negara dapat direalisasikan dengan segera,” katanya.

Mengikut perjanjian dalam Pakatan Harapan, Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

Mengikut perjanjian dalam Pakatan Harapan, Mahathir akan menyerahkan teraju kepimpinan negara kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim. Tiada tempoh masa khusus dinyatakan.

Anwar Ibrahim

Selepas memenangi pilihan raya umum lalu, Mahathir berkali-kali berdepan soalan berkaitan tempoh masa penyerahan kuasa itu dan berjanji akan mengotakannya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, partinya Bersatu makin giat menambah kerusi parlimen dengan menerima kemasukan wakil rakyat Umno yang berpaling tadah.

PAS, walaupun menjadi pembangkang, berjanji akan memberikan sokongan di Dewan Rakyat sekiranya terdapat undi tidak percaya dikemukakan di parlimen.

Dalam kenyataan hari ini, Azmin berkata dukungan bipartisan - kerajaan dan pembangkang - terhadap Mahathir merupakan lembaran baru dalam politik Malaysia.

Ia, katanya, menjadikan kepentingan rakyat sebagai keutamaan, termasuk dalam pindaan perlembagaan bagi merendahkan had mengundi kepada 18 tahun baru-baru ini.

“Sokongan tersebut adalah bukti keyakinan terhadap kepimpinan YAB Tun Dr Mahathir yang berhemah tinggi sesuai dengan peranannya sebagai negarawan ulung negara,” katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.