Paling Popular
Terkini

Selangor tidak bercadang untuk menutup kilang plastik sedia ada di negeri itu meskipun sedang giat menjalankan kempen bebas plastik, kata Hee Loy Sian.

Exco alam sekitar, teknologi hijau, sains, teknologi dan inovasi dan hal ehwal pengguna berkata pihak kilang mempunyai hak untuk terus mengeluarkan hasil produk mereka.

"Tidak ada rancangan untuk tutup kilang plastik sedia ada. Jika mereka hendak hasilkan produk (mereka), itu kuasa pengusaha kilang.

"Pengguna juga ada hak untuk gunakan beg plastik.

“(Langkah negeri) hanya hendak didik pelanggan (rakyat) supaya mereka mengurangkan pengambilan beg plastik.

“Pengharaman beg plastik hanyalah pada 2025, itu pun jika kita (kerajaan negeri) sudah bersiap sedia," katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, di Shah Alam, hari ini.

Beg plastik, gambar hiasan

Hee berkata demikian menjawab soalan tambahan dari Adun Meru (Amanah), Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar.

Terdahulu, Mohd Fakhrulrazi mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang membenarkan kilang plastik di negeri itu untuk terus beroperasi ketika giat menjalankan kempen bebas plastik.

"Kalau kita buat kempen (bebas plastik) tapi pengeluaran masih ada, tidak guna juga," soalnya.

Mengulas lanjut perkara itu, Hee turut mengambil contoh kempen bebas asap rokok yang dikuat kuasakan oleh kerajaan pusat.

"Ini macam (kempen bebas asap) rokok. Kita larang (orang ramai) merokok, tetapi kita masih benarkan kilang rokok untuk hasilkan rokok.

"Jadi, jangan jadikan ia satu isu," katanya.

Mei lalu, Hee dilaporkan berkata rakyat Selangor perlu bersiap sedia dari sekarang kerana kerajaan negeri sedang dalam proses penguatkuasaan larangan penggunaan beg plastik secara menyeluruh menjelang 2025 nanti.

Pada masa sama, Hee yang juga Adun Kajang berkata rakyat juga perlu biasakan diri untuk tidak menggunakan penyedut plastik, sebaliknya menggunakan penyedut minuman keluli tahan karat.

"Kita juga galakkan pengguna jangan guna penyedut plastik, tetapi guna mulut. Kalau kita boleh minum kopi panas dengan cawan (tanpa penyedut plastik), saya rasa tidak ada masalah minum minuman sejuk dengan cawan juga, "katanya.

Bermula 1 Julai lalu, semua premis makanan di Selangor dilarang menyediakan penyedut minuman plastik kepada pelanggannya.

Lihat Komen
ADS