Malaysiakini
BERITA

'PAS jadi kingmaker di tengah persengketaan PH'

Diterbitkan
Dikemaskini 29 Jul 2019, 1:30 tengahari

Di tengah-tengah perbalahan dalaman antara pemimpin Pakatan Harapan (PH), Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arutchelvan menaruh keyakinan bahawa PAS akan menjadi penentu politik Malaysia pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, keyakinan itu bertambah kukuh selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali hari ini mengalu-alukan pendirian Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyeru Dr Mahathir Mohamad menghabiskan penggalnya sebagai perdana menteri.

"Dengan semua ini, nampaknya PAS sebenarnya boleh melakar politik Malaysia kerana PH dilihat tidak mampu untuk bekerjasama secara berkesan. Parti-parti komponen PH sibuk memerangi satu sama lain dan cuba menjaring mata daripada memfokus isu-isu yang dihadapi rakyat.

"Dikatakan jika anda mempunyai kawan seperti dalam PH, anda tidak memerlukan musuh. Ini dapat dilihat dalam drama bagaimana orang nombor satu dan dua dalam parti terbesar memerintah negara, PKR bergaduh untuk mengulingkan satu sama lain," katanya dalam laman Facebook hari ini.

Menurut Arutchelvan, Azmin yang semakin kehilangan pengaruh di kalangan PH dan sebahagian segmen dalam PKR kini dengan selesanya "menggunakan" PAS untuk mendapat sokongan.

Kenyataan Azmin itu, katanya juga menunjukkan bahawa timbalan presiden PKR itu cuba menumpang sokongan PAS-Umno berdasarkan agenda Perpaduan Melayu dan Ummah, yang mana PH semakin hilang sokongan.

Pada masa sama, katanya sebahagian besar ahli Umno menolak seruan Mahathir yang meminta parti pembangkang itu menyertai Bersatu untuk menyatukan parti-parti Melayu.

"Umno melihat PAS sebagai rakan sekutu dan rakan utama mereka dalam misi merampas semula kuasa dalam PRU15. Ini dapat dilihat pada beberapa pilihanraya kecil baru-baru ini apabila mereka berdiri sebagai satu pasukan," kata Arutchelvan.

Tambah beliau, PAS juga telah membuktikan keupayaan menggerakkan sejumlah besar penyokong semasa perhimpunan membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (Icerd) pada 8 Disember tahun lalu.

Katanya, Bersih pada suatu masa juga pernah menggunakan PAS untuk berjuang menuntut pilihan raya bersih dan adil pada era pentadbiran BN.

Bagi komponen BN pula, Arutchelvan berkata MCA melihat peranan mereka untuk kekal dalam BN bagi mengimbangi pengaruh PAS, manakala MIC telah mengambil pendirian bahawa PAS bukan radikal seperti yang digambarkan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.