Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mana lagi RM70 juta? MIC gesa Guan Eng, Waytha 'buka mulut'

Masyarakat India mungkin kehilangan sebahagian besar dana daripada RM100 juta yang diperuntukkan kepada mereka dalam Bajet 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas hanya RM31.5 juta diagihkan setakat ini.

Senator MIC, S Ananthan berkata kemungkinan besar dana tersebut akan dibekukan atau tidak boleh digunakan sekiranya tidak dibelanjakan sebelum akhir tahun ini.

Sehubungan itu beliau menuntut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy memberi penjelasan atas kelembapan kerajaan PH membelanjakan dana tersebut.

"Kami (MIC) nak Guan Eng dan Waytha perlu 'buka mulut' (menjelaskan) untuk memberitahu apakah kesukaran kerajaan PH untuk mengagihkan dana ini.

"Setakat ini RM31.5 juta sahaja dibelanja. Jadi, soalannya mana baki RM69.5 juta? Kenapa lambat sangat untuk diperuntukkan?" katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas jawapan Waythamoorthy di Dewan Negara yang mengesahkan bahawa kerajaan hanya mengagihkan RM31.5 juta melalui Unit Transformasi Masyarakat India (Mitra) untuk program sosio ekonomi.

Isu dana RM100 juta hangat diperkatakan di kalangan masyarakat India selepas beberapa NGO dan sekolah Tamil mendakwa permohonan mereka tidak diluluskan tanpa sebab kukuh. 

Pada masa sama, permohonan yang berjaya masih tidak menerima sebarang dana yang dimaksudkan.

Selain, MIC, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, P Ramasamy turut menekan Waythamoorthy supaya menjelaskan mengenai peruntukan tersebut.

Menjawab soalan lisan Senator MIC T Mohan pada 23 Julai, Waythamoorthy berkata pengurusan dana hanya dilaksanakan oleh unit Mitra sejak Januari 2019.

"Bagi menyelaraskan sistem permohonan yang telus, Sistem Pengurusan Geran (GMS) telah dilancarkan pada 28 Januari 2019. Di bawah fasa pertama, sebanyak 40 program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India telah diluluskan dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM 15.7 juta.

"Manakala di bawah fasa yang kedua, sebanyak 60 program dengan jumlah sebanyak RM 15.8 juta telah diluluskan bagi program-program pembangunan sosio ekonomi masyarakat India Malaysia,"kata Waythamoorthy.

Tambahnya, Mitra memberi fokus kepada program-program berimpak tinggi dalam usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan keupayaan masyarakat India secara holistik yang merangkumi aspek pendidikan, ekonomi, sosial dan insaniah. 

Kementerian Kewangan perlu jelaskan

Bagaimanapun, Ananthan menyifatkan Waythamoorthy tidak menjawab soalan-soalan dibangkitkan oleh masyarakat India di peringkat akar umbi.

"Soalan asas di sini kenapa hanya RM31.5 juta sahaja diluluskan sehingga bulan Julai?" soalnya.

Ananthan yang juga Pengerusi MIC Kedah berkata terdapat aduan bahawa Kementerian Kewangan lembap dalam meluluskan dana tersebut walaupun dimohon berkali-kali oleh Mitra.

"Dakwaan yang saya terima daripada sumber dalaman Mitra adalah kerana kelembapan Kementerian Kewangan meluluskan dana.

"Kita nak Guan Eng menjelaskan berapa peruntukan sudah dikeluarkan Kementerian Kewangan setakat ini. Jadi, kita akan tahu di mana masalah dan siapa yang menipu," katanya lagi.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Lim dan Waythamoorthy bagi mendapatkan ulasan.

Lihat Komen
ADS