Gabungan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam menyerahkan memorandum menyatakan sokongan mereka terhadap Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan), yang diluluskan Dewan Rakyat pada persidangan lepas.

Memorandum yang diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz di bangunan Parlimen itu antara lain menyatakan bahawa undang-undang itu adalah tidak bercanggah dengan hukum syarak dan tidak mendiskriminasikan wanita.

Pengerusi Muslim Professional Forum Berhad (MPF) Dr Mazeni Alwi yang mengetuai gabungan 43 NGO Islam itu dalam kenyataannya berkata memorandum bersama itu turut mencadangkan agar media lebih bertanggungjawab dalam laporannya untuk mewujudkan kefahaman yang lebih jelas mengenai perkara-perkara berkaitan hubungan antara agama.

Media massa perlu memainkan peranan yang lebih bertanggungjawab untuk memupuk kefahaman antara agama dan berniat baik dalam melaksanakan tanggungjawabnya, katanya dalam kenyataan yang diedarkan kepada media di Parlimen hari ini.

Menurut laporan Bernama, dalam pertemuan kira-kira setengah jam dengan Mohamed Nazri itu, wakil-wakil NGO berkenaan turut mengambil kesempatan menyuarakan bantahan terhadap kumpulan-kumpulan yang menentang undang-undang itu dan membidas media yang didakwa mengambil sikap berpihak dalam melaporkan isu itu.

Mohamed Nazri ketika menjelaskan perkara itu, berkata undang-undang berkenaan telah diwartakan pada 2 Februari lepas dan kerajaan juga telah bersetuju untuk membuat dua pindaan terhadap akta itu, yang akan dibentangkan pada persidangan Parlimen ini.

"Akta itu perlu diwartakan terlebih dahulu bagi membolehkan pindaan itu dibuat," katanya.

Beliau percaya pindaan akta itu akan diterima sebulat suara dan diluluskan tanpa menimbulkan sebarang masalah.

Antara NGO terbabit ialah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Islamic Information and Services Foundation (IIS), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Muslim Women Consultative Council dan Ikatan Siswazah Muslim Malaysia.