Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ahli PKR akan minta ROS Putrajaya perjelas status Azmin

Sekumpulan anggota PKR akan mendapatkan penjelasan daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengenai status Azmin Ali sebagai timbalan presiden PKR esok.

Kumpulan itu cuba membuat aduan di cawangan ROS Kuala Lumpur hari ini tetapi tidak berjaya mendapatkan penjelasan kerana perkara itu hanya ditangani oleh ibu pejabat ROS di Putrajaya.

Ketika ditemui di cawangan ROS Kuala Lumpur, wakil kumpulan yang juga bekas timbalan setiausaha agung PKR, P Jenapala berkata mereka mahu mendapatkan penjelasan selepas Azmin disahkan tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak November 2018.

"Kami diberitahu bahawa aduan kami perlu dirujuk ke ROS Putrajaya kerana mereka bertanggungjawab dengan kes-kes berkaitan parti politik.

"Jadi, esok kami akan ke Putrajaya untuk membuat laporan," kata anggota PKR cabang Ipoh Barat itu kepada pemberita di Wisma Kementerian Dalam Negeri, Kuala Lumpur, hari ini.

Ahli PKR yang turut sama hadir hari ini ialah N Nadarajah, S Kesavan (ahli cabang Merbok) dan B Rajandran (cabang Selayang).

"Tujuan kami ke sini hari ini bukan untuk memecahbelahkan parti. Kami sebagai ahli PKR keliru dengan kenyataan-kenyataan pemimpin PKR.

"Setiausaha agung (Saifuddin Nasution Ismail) kata Azmin tidak hadir sejak 2018 dan tidak memberi alasan. Perlembagaan parti menyatakan bahawa tidak hadir tiga kali berturut-turut tanpa alasan disifatkan sebagai letak jawatan.

"Tapi, timbalan setiausaha (Dr Edmund Santhara) pula kata fasal 21.16 tidak pernah digunakan. Dan Azmin sudah memberitahu alasannya kepada presiden parti (Anwar Ibrahim). 

"Jadi, kami nak ROS menjelaskan status terkini Azmin sebagai timbalan presiden.

"Adakah dia masih timbalan presiden atau tidak? Itu sahaja, kerana ROS merupakan agensi kerajaan yang (boleh) menjelaskan kekeliruan ini," katanya.

Untuk rekod, fasal 21.16 Pelembagaan PKR menyatakan: "Mana-mana ahli pimpinan pusat mungkir menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai meletakkan jawatan di dalam Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Pusat berhak menguatkuasakan fasal ini."

Sementara itu, Jenapala turut menggesa Azmin berundur daripada jawatan timbalan presiden parti. 

Jelasnya, tindakan Azmin itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin untuk sementara waktu menjalankan tugas timbalan presiden.

"Kami nampak Azmin sangat sibuk. Lebih sibuk daripada perdana menteri dan timbalan perdana menteri sehingga masih tidak dapat hadir ke mesyuarat (PKR). Adalah baik baginya untuk letak jawatan dan memberikan laluan kepada Zuraida.

"Kerana kalau ikut kedudukan dalam parti Zuraida merupakan naib presiden nombor satu selepas Nurul Izzah sudah letak jawatan. 

"Lagipun, Zuraida lebih konsisten dalam soal parti daripada Azmin yang jelasnya memberi kenyataan-kenyataan berlawanan kepentingan parti," katanya.

Katanya lagi, berbanding Azmin, gandingan Anwar-Zuraida juga akan memberi ruang kepada lebih ramai golongan wanita menyertai PKR kerana prestasi Zuraida sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan.

Azmin yang juga menteri hal ehwal ekonomi didakwa tidak hadir ke mesyuarat MPP dan Biro Politik PKR atas alasan terlalu sibuk dengan tugasnya dalam kerajaan.

Dalam pada itu, seorang pegawai daripada ibu pejabat PKR memberitahu Malaysiakini bahawa pejabatnya telah mengeluarkan jadual setahun perjalanan mesyuarat MPP selepas pemilihan parti pada November 2018.

"Selepas pemilihan MPP lepas, pejabat setiausaha agung keluarkan jadual setahun mesyuarat MPP kepada semua untuk setahun yakni Ahad minggu terakhir setiap bulan.

"Tujuan supaya ahli MPP boleh menetapkan tarikh itu dan elakkan ambil program lain kecuali tugasan yang tidak dapat dielakkan," kata pegawai tersebut yang enggan mendedahkan namanya.

Menurut pegawai itu lagi, jadual mesyuarat biro politik pada Rabu setiap dua minggu sekali telah dimaklumkan lebih awal kepada pimpinan.

"Malangnya ada kalangan pimpinan yang gagal hadir berterusan tanpa sebarang pemakluman," katanya.

Sementara itu, mesyuarat MPP iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti pula diadakan sebulan sekali.

MPP memiliki 41 anggota, dengan 28 dipilih ketika pemilihan tahun lalu manakala 13 lagi menerusi lantikan. 

Sejumlah 22 anggota yang dipilih pernah tersenarai dalam calon kem Azmin (biasanya disebut sebagai 'cai') ketika pemilihan PKR pada 2018.

Lihat Komen
ADS