Adun: Campurtangan politik punca masalah babi di Kuala Linggi
Campurtangan politik - itulah menyebabkan munculnya masalah ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Bumbun di Kuala Linggi, Melaka sekarang ini.
Campurtangan politik - itulah menyebabkan munculnya masalah ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Bumbun di Kuala Linggi, Melaka sekarang ini.
Ternakan babi di dua perkampungan itu dikatakan telah dijalankan sejak 30 tahun dan masalah yang timbul darinya sehingga kini belum dapat diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi Abdul Rahman Palit berkata, parti-parti politiktertentu sering campurtangan apabila pihak berkuasa cuba menyelesaikan masalah tersebut- kononnya hendak membela kepentingan penternak.
Katanya, parti politik terbabit sebenarnya mahu mengambil kepentingan daripada isu tersebut walaupun operasi ladang tersebut dibantah oleh penduduk setempat.
"Ini menyebabkan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan ke atas pemilik ladang babi terbabit tidak dapat dilaksanakan.
"Parti politik terbabit akan meminta kerajaan negeri menangguhkan setiap tindakan yang mahu diambil oleh pihak berkuasa terhadap ladang babi itu," katanya ketika dihubungi oleh malaysiakini hari ini.
Menurutnya, Umno, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan telah berulangkali meminta pihak berkuasa menangani masalah ternakan babi di kawasan terbabit kerana ia mencemarkan alam sekitar setempat.
Abdul Rahman berkata, kini masalah pencemaran dari ladang babi berkenaan semakin buruk kerana di mana-mana sahaja di pekan Kuala Sungai Baru akan terbau najis babi.
Katanya, orang ramai sudah tidak tahan lagi dengan pencemaran tersebut menyebabkan ramai penduduk menyuarakan keinginan untuk berpindah.
"Mereka sanggup berpindah jika pihak berkuasa menyediakan kawasan penempatan baru yang jauh dari ladang babi."
"Perkara ini dinyatakan oleh penduduk dalam setiap majlis perjumpaan yang diadakan sebelum ini kerana tahap pencemaran yang dihasilkan dari ladang babi Paya Mengkuang dan Bukit Bumbun sudah terlalu serius," katanya.
Beliau berkata, penduduk setempat juga menghadapi masalah air minuman kerana air yang dibekalkan datang dari sumber yang tercemar najis babi.
Menurutnya, kawasan Kuala Linggi mempunyai kira-kira 25, 000 orang dengan majoritinya masyarakat Melayu beragama Islam.
"Ia turut menjejaskan sektor pelancongan kerana pengunjung yang datang ke Telok Gong dan Sungai Tuan - dua kawasan pelancongan utama daerah Alor Gajah semakin berkurangan.
"Kami pernah mendapat laporan ada pelancong yang termuntah kerana air minuman yang dibekalkan oleh kedai makan tercemar dengan bau najis babi," katanya lagi.

