Akta Antiberita Tidak Benar masih wujud - Hanipa
Menteri di Jabatan perdana Menteri, Hanipa Maidin menjelaskan kekeliruan berhubung status Akta Anti Berita Tidak Benar di Dewan Negara hari ini .
Katanya, akta itu masih lagi wujud memandangkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang bertujuan memansuhkannya telah ditolak oleh Dewan Negara tahun lalu.
“Akta Antiberita Tidak Benar ini masih wujud lagi sebab baru-baru ini Dewan ini (Dewan Negara) telah pun menolak (RUU pemansuhan), jadi kena tunggu setahun jika hendak membuat pemansuhan itu.
“Buat masa ini akta ini masih wujud tetapi tidak ada apa-apa pendakwaan dibuat di bawah akta ini,” katanya dalam jawapan lisannya di Parlimen.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Ir Yong Wui Chung yang bertanyakan apakah kerajaan akan mempertimbangkan mewujudkan semula akta itu yang bersifat lebih adil dan lengkap bagi menangkis pelbagai fitnah terhadap kerajaan.
Mengulas lanjut, Hanipa berkata buat masa sekarang, kerajaan belum mempunyai apa-apa keputusan untuk mewujudkan akta seperti yang diutarakan Yong.
“[...] buat masa ini kita mempunyai undang-undang yang mencukupi untuk dengan izin deal with the fake news,” katanya lagi.
Pada 16 Ogos tahun lalu, RUU Akta Anti Berita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 diluluskan Dewan Rakyat setelah bacaan kali ketiga, namun ditolak dalam bacaan kali kedua di Dewan Negara pada September tahun sama.
Penolakan itu diputuskan hasil undi belah bahagian oleh ahli-ahli Dewan Negara yang dikuasai oleh BN.
Seramai 28 ahli Dewan menolak pemansuhannya, manakala hanya 21 yang menyokong dan tiga lagi tidak mengundi.
Akta itu dikuatkuasakan sejak 11 April tahun lalu, sebelum berlangsungya pilihan raya umum (PRU) ke-14.

