Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Senator tarik balik cadangan akta lindungi lelaki dari godaan wanita
Diterbitkan:  Aug 1, 2019 10:31 AM
Dikemaskini: 2:31 AM

Senator PKR Mohamad Imran Abd Hamid menarik balik cadangannya untuk mewujudkan akta gangguan seksual bagi melindungi lelaki daripada godaan wanita.

“Walaupun niat saya ikhlas tetapi tidak menyangka ia dilihat kesilapan besar yang telah menyinggung ramai kaum wanita dan tidak kurang juga kaum laki-laki kerana dianggap menghina.

“Oleh yang demikian saya mohon jutaan maaf dan menarik balik cadangan yang saya kemukakan,” kata bekas pegawai kanan tentera laut itu dalam kenyataan ringkasnya pagi ini.

Penarikan balik itu dibuat tidak lama setelah Presiden PKR, Anwar Ibrahim mengarahkan perkara itu, susulan kritikan meluas aktivis dan pemimpin wanita kerajaan.

Anwar sendiri menyifatkannya sebagai tidak munasabah dan menghina kepada kaum wanita, selain menggambarkan golongan lelaki tidak bermoral dan mudah tergoda hingga melakukan perbuatan keji.

Bercakap di Dewan Negara, Mohamad Imran semalam mencadangkan undang-undang gangguan seksual untuk melindungi kaum lelaki daripada tergoda dan terjebak dengan jenayah seperti rogol.

“Wujudkan satu akta gangguan seksual ke atas kaum lelaki akibat perlakuan, percakapan dan pemakaian kaum wanita yang boleh sebabkan kaum lelaki tergoda hingga boleh sebabkan perbuatan seperti sumbang mahram, rogol, meraba, pornografi dan sebagainya,” katanya.

Lihat Komen
ADS