Lim cabar Jho Low pulang Malaysia halang tayangan The Kleptocrats
Pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang menyifatkan tindakan Jho Low yang menggunakan hak undang-undang di luar negara ketika sedang dalam pelarian sebagai sesuatu yang ironi.
Lim mengulas mengenai laporan yang menuntut peguam Jho Low menghantar surat kepada beberapa pengedar dan platform yang membawa dokumentari The Kleptocrats, bagi menggesa agar filem itu dikeluarkan daripada katalog mereka.
Menurut The Hollywood Reporter, dokumentari mengenai skandal 1MDB itu akan disiarkan di Starz di Amerika Syarikat pada 5 Ogos dan BBC pada tahun ini.
Firma undang-undang yang berpangkalan di London, Schillings menuduh filem The Kleptocrats memfitnah Jho Low dengan menggambarkan ahli perniagaan itu sebagai watak utama dalam skandal tersebut.
Lim mempersoalkan mengapa Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho, tidak kembali ke Malaysia ketika dokumentari itu disiarkan di negara ini April lepas.
"Adalah ironi bahawa Jho Low sedang mengambil tindakan undang-undang di AS dan UK menggunakan keuntungan yang diperoleh dari wang 1MDB, sambil terus lari dari undang-undang sebagai pelarian antarabangsa.
"Kenapa Jho Low tidak kembali ke Malaysia untuk menghentikan filem The Kleptocrats dari ditayangkan di sini, memandangkan ia mula-mula dilancarkan dengan tayangan eksklusif di Kuala Lumpur pada April tahun ini dan boleh didapati di Malaysia pada Astro on Demand," kata Lim yang juga merupakan ahli parlimen Iskandar Puteri.
Jho Low sedang disiasat di beberapa negara dan telah didakwa dengan beberapa tuduhan jenayah berhubung dengan urusan 1MDB, termasuk di AS dan Malaysia.
Dia didakwa sebagai dalang di sebalik skandal kewangan global itu.
Bagaimanapun, Jho Low menafikan semua tuduhan itu dan telah berkali-kali menolak untuk kembali ke Malaysia untuk dibicarakan, dengan mengatakan pendakwaannya bermotif politik.

