Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Felcra perjelas tawaran RM20 pada peserta program Azmin

Felcra mempertahankan bayaran RM20 yang mahu diberikan kepada peserta acara pertemuan dengan menteri ekonomi Azmin Ali yang dijadual di Terengganu hari ini.

Ketua Kumpulan Komunikasi dan Komersial Felcra Mohammad Ab Rahman berkata ia amalan biasa mereka sejak 2012 bagi mengurangkan beban anggotanya.

“Bukan sahaja program menteri, kami bayar elaun kepada semua program yang disertai oleh Felcra.

"Ini adalah pampasan atau imbuhan kepada peserta yang hadir ke majlis Felcra kerana mereka hilang pendapatan pada hari tersebut," katanya ketika dihubungi.

Beliau ditanya berkaitan pekeliling Felcra yang meminta pengurus kawasan mendapatkan 20 peserta dengan bayaran RM20 seorang untuk mengambil bahagian dalam program Silaturrahim Azmin dengan pekebun kecil Risda Terengganu.

Menurut pekeliling bertarikh 27 Julai yang dilihat Malaysiakini, arahan dalam pekeliling ke di Kuala Terengganu itu dikeluarkan oleh Felda Berhad Wilayah Timur.

Malaysiakini bagaimanapun difahamkan program itu telah dibatalkan.

Mohammad menjelaskan bayaran yang mahu dibuat itu hanya untuk peserta program dari Felcra sahaja.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai Azmin dan masih menunggu komennya.

Program Anwar juga dilapor batal

Sementara itu, Utusan Online melaporkan Presiden PKR Anwar Ibrahim juga asalnya mempunyai program di Terengganu esok tetapi turut dibatalkan.

Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail berkata program Anwar dibatalkan kerana beliau akan mengerjakan haji.

"Malangnya kami agak terkejut apabila terima satu pesanan whatsapp daripada setiausaha pegawai tugas-tugas khas di pejabat menteri hal ehwal ekonomi bahawa program lawatan Azmin esok juga dibatalkan," katanya.

Anwar Ibrahim

Azan justeru berkata beliau terkilan dan kecewa dengan pembatalan mengejut itu kerana menjejaskan persiapan melibatkan pelbagai agensi.

"PKR Terengganu memang tidak mempunyai apa-apa maklumat sehingga dua hari lepas kita terima kad jemputan dan surat daripada agensi tersebut yang memaklumkan tentang lawatan rasmi menteri hal ehwal ekonomi.

"Saluran parti memang tak ketahui perkara ini dan saya ingin nyatakan pembatalan ini tidak ada kaitan dan tidak melibatkan apa-apa keputusan di peringkat PKR Terengganu, malah PH Terengganu juga keliru dan tak tahu tentang keputusan ini (pembatalan)," katanya.

Lihat Komen
ADS