Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM: Tempat duduk Najib diuruskan istana, bukan saya

Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak tahu menahu mengenai soal kedudukan kerusi bekas perdana menteri Najib Razak sewaktu pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara pada Selasa lalu.

Sebaliknya perdana menteri berkata ia merupakan urusan pihak istana.

Beliau ditanya berkenaan dakwaan Najib bahawa kerusinya ditukar - daripada tempat sebagai bekas perdana menteri kepada tempat duduk Orang Besar Pahang - di saat akhir menyebabkan beliau tidak dapat hadir ke majlis itu.

"Iyalah, itulah tempat dia kot. Itu istana punya kerja, bukan saya," katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Tabung Jasamu Dikenang Institut Perguruan Kota Bharu di Putrajaya, malam ini.

Terdahulu, Najib mendakwa menerima panggilan pada pukul 6.30 pagi berkenaan pertukaran tempat duduk itu, menyebabkan beliau tidak dapat mengambil pakaian istiadat Orang Besar Pahang dari Pekan, Pahang, untuk menghadiri majlis itu.

Bagaimanapun Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menjelaskan kedudukan Najib sudah ditetapkan, bukan dialih di saat akhir, dan beliau telah dimaklumkan lebih awal berkenaan perkara itu.

Lihat Komen
ADS