Tiga lagi kes selesema burung dikesan di Perak
Dua lagi tempat di Perak disahkan dijangkiti wabak selesema burung H5N1 iaitu di Changkat Legong dekat Gopeng, Titi Gantung, Bota dan Taman Lapangan Pernana, Ipoh selepas dua kawasan lain diserang wabak itu minggu lepas.
Dua lagi tempat di Perak disahkan dijangkiti wabak selesema burung H5N1 iaitu di Changkat Legong dekat Gopeng, Titi Gantung, Bota dan Taman Lapangan Pernana, Ipoh selepas dua kawasan lain diserang wabak itu minggu lepas.
Kawasan Changkat Legong terletak bersempadan dengan Changkat Tualang iaitu kawasan di mana lebih 41,000 unggas dimusnahkan bermula Khamis lepas hingga Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Datuk Mohd Radzi Manan berkata dua kes baru disahkan oleh Institut Penyelidikan Haiwan (VRI) Ipoh hari ini melalui pensampelan yang dijalankan dalam aktiviti pemantauan.
Beliau berkata ujian ke atas beberapa ekor ayam kampung di kedua-dua kawasan itu mengesahkan jangkitan virus berkenaan.
Katanya tiada kes kematian unggas dikesan di kedua-dua kawasan berkenaan.
Menurut laporan Bernama, kawasan Changkat Legong terletak dalam radius lima kilometer iaitu kawasan pemantauan daripada kes indeks di Changkat Tualang manakala Titi Gantung terletak kira-kira 60 kilometer dari situ.
Satu lagi kawasan yang diserang wabak itu ialah di Taman Ecopark Bukit Merah Laketown Resort dekat Taiping yang terletak kira-kira 150 kilometer ke utara Gopeng.
Mohd Radzi berkata operasi pemusnahan unggas oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) dan Kementerian Kesihatan telah dimulakan di kawasan Changkat Legong dan Titi Gantung tetapi setakat ini beliau belum dapat memastikan jumlah unggas yang perlu dimusnahkan di kedua-dua kawasan itu.
Kira-kira 42,000 unggas termasuk lebih 30,000 itik dari tiga ladang komersial, ayam dan telur dimusnahkan di kawasan satu kilometer radius Changkat Tualang manakala operasi pemusnahan di Taman Ecopark melibatkan 239 ekor burung eksotik.
Sementara itu, Mohd Radzi menasihati orang ramai supaya tidak panik kerana penularan wabak itu setakat ini hanya melibatkan unggas dan tiada kes manusia dijangkiti.
Katanya pensampelan dan ujian makmal di seluruh negeri ini tetap diteruskan supaya pengesanan dapat dibuat segera dan operasi pemusnahan dijalankan serta merta.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menguatkuasakan larangan membawa keluar unggas dari Perak ke tempat lain sejak 16 Mac lepas.

