Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
'Jakoa sedia beri penjelasan isu Orang Asli berdepan pembalakan di Gerik'

Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedia memberi penjelasan lanjut berkenaan isu tanah adat di Gerik, Perak jika tiada penyelesaian dicapai selepas perbincangan tahap tinggi berkenaannya.

Ketika itu, Ketua Pengarah Jakoa Juli Edo berkata beliau percaya lebih baik isu itu diselesaikan melalui perbincangan melibatkan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy dan Peguam Negara Tommy Thomas.

"Jika isu ini kekal kusut, kita dari Jakoa sedia untuk memberi penjelasan lanjut mengenai perkara ini.

"Tapi saya harap jangan kusutlah, biar selesai. Perkara ini hanya boleh kita selesaikan dengan baik melalui perbincangan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program berkenaan Orang Asli di Universiti Malaya, Petaling Jaya hari ini.

"Saya harap kerajaan negeri dan persekutuan akan mencapai kata sepakat," katanya lagi.

Ahmad Faizal dikritik kerana enggan mengiktiraf tanah adat Orang Asli dan mempertahankan kegiatan pembalakan di kawasan itu yang telah diberi kelulusan oleh kerajaan negeri.

Susulan pertemuan dengan Waythamoorthy, kedua-duanya mengeluarkan kenyataan bersama untuk mengumumkan kerajaan negeri setuju untuk menghentikan sementara pembalakan di kawasan Orang Asli di Gerik.

Kenyataan itu juga berkata isu Orang Asli akan ditangani secara bersama antara kerajaan negeri dan persekutuan.

Masyarakat Orang Asli Temiar di Gerik berdepan tindakan pihak berkuasa kerana membuat sekatan bagi menghalang kemasukan pembalak di kawasan mereka.

Pada 23 Julai lalu, tiga Orang Asli ditahan selepas cuba menghalang polis, pembalak dan pegawai Jabatan Perhutanan dari merobohkan sekatan.

Salah seorang yang ditahan ialah Pam Ayeek, yang turut diundang ke acara hari ini.

"Kami mahu penamatan kekal untuk kegiatan pembalakan. Kita tengok dulu (berkenaan arahan henti sementara)... Kita akan terus beri tekanan," kata Pam.

Meraikan Orang Asli

Terdahulu Juli melancarkan acara meraikan kepelbagaian Orang Asli di Malaysia melalui pelbagai pameran interaktif dan sesi perbincangan.

Antara lain, Ketua Centre for Malaysian Indigenous Studies (CMIS) Universiti Malaya Dr Welyne Jeffrey Jehom mencuba "kembara" virtual realiti (VR) sambutan Hari Moyang di Sungai Bumbun, Pulau Carey.

Menggunakan sistem VR yang dibangunkan Universiti Sunway, hadirin dapat melihat ritual Orang Asli Mah Meri untuk mengenang nenek moyang mereka.

Selain Orang Asli di semenanjung, ada juga sesi perbincangan dan tayangan video berkenaan masyarakat peribumi di Malaysia Timur.

Lihat Komen
ADS