Bayi bertali pusat ditemui di kilang di Muar
Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan masih bertali pusat, ditinggalkan di sebuah kilang di Jalan Kebun Sayur, Bakri Batu 6, di Muar, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muar, ACP Zaharudin Rasip berkata bayi yang dibalut dengan kain berwarna biru gelap itu ditemui oleh pemilik kilang di atas zink penutup longgokan kayu kira-kira 8.30 pagi.
“Polis menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki memaklumkan menjumpai seorang bayi yang masih hidup di hadapan kilangnya.
“Bayi itu kemudiannya diselamatkan pada 9.15 pagi dan dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama di Muar hari ini.
Katanya setakat ini keturunan bayi masih belum dapat dikenal pasti kerana dipercayai baru sahaja dilahirkan dan keadaan bayi itu kini dilaporkan dalam keadaan stabil.
Zaharudin seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu supaya tampil bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
- Bernama

