Paling Popular
Terkini

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS, Nasrudin Hassan menafikan dakwaan beliau takut untuk menyertai program wacana sebuah stesen TV kerajaan yang dijadual bersiaran malam ini.

Menurut Nasrudin ada pihak tertentu - yang tidak dinamakannya secara khusus - mendakwa beliau takut berdepan dengan panel yang dijemput bagi membincangkan isu politik dan akidah.

Sebenarnya kata bekas anggota parlimen Temerloh selama sepenggal itu, jemputan untuk menyertai program berkenaan datang pada saat-saat akhir dan beliau sudah mempunyai program lain yang ditetapkan lebih awal.

"Ada sebuah stesen televisyen jemput sebagai ahli panel bagi sebuah rancangan terbitan mereka.

"Jemputan itu dibuat dua hari sebelum program itu berlangsung, sedangkan saya sudah mempunyai komitmen lain.

"Jadi dari situ ada pihak yang membuat tuduhan kononnya saya penakut untuk menyertai program itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, petang ini.

Tanpa menyatakan secara spesifik progam yang dimaksudkannya, Nasrudin dipercayai merujuk kepada rancangan Analisis terbitan TV Alhijrah yang sering mempertemukan dua sisi bertentangan bagi berdialog mengenai isu tertentu.

Jemputan berwacana memang baik

Malam ini Analisis mengutarakan isu politik sebagai sebahagian daripada aspek akidah. Isu itu menjadi panas selepas anak bekas presiden PAS yang kini semakin dikenali sebagai pendakwah bebas, Fawwaz Fadzil, membentangkan kertas kerjanya di sebuah seminar anjuran Amanah baru-baru ini.

Pihak PAS bertegas mendakwa politik adalah sebahagian daripada akidah. Fawwaz pula sudah beberapa kali menjelaskan bahaya menjadikan politik sebagai bukan perkara akidah dan usul dalam agama.

Katanya, tindakan meletakkan politik sebagai sebahagian daripada usul agama boleh membawa kepada fahaman taasub dan takfiri (mengkafirkan orang yang tidak sehaluan).

Difahamkan pihak Alhijrah menghubungi beberapa pemimpin PAS untuk berdialog dalam program berkenaan sebelum ini.


Baca Pesan Hadi: Jauhi pendakwah jahil murakkab, tentera syaitan


Terbaru, melalui postes yang dipaparkan stesen TV di bawah Jabatan Perdana Menteri itu, Fawwaz akan berdialog dengan Kamalul Hysham, seorang pemimpin pertubuhan yang dekat dengan PAS, Geng Ustaz Cintakan Ulama.

Asalnya Nasrudin memberitahu beliau dijemput sebagai panel bersama seorang lagi individu lain.

Sebelum ini Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh, melorongkan jalan untuk membolehkan beliau 'berdebat' mengenai pandangannya bahawa wajib bagi parti itu menjatuhkan kerajaan PH.

Antara hantaran mengecam pemimpin PAS

Bagaimanapun anggota parlimen Pasir Puteh itu menolak tawaran pendakwa yang cenderung kepada PH, Wan Ji Wan Hussin, dengan alasan beliau enggan berdebat dengan "budak-budak jalanan".

Seorang lagi pemimpin kanan PAS, Mokhtar Senik, memberitahu Nik Zawawi bertaraf menteri.

Sebelum itu, dalam hantaran di Facebooknya, Nasrudin berkata jemputan wawancara oleh syarikat penyiaran itu sangat baik.

"Jemputan untuk berwacana di televisyen itu sangat baik. Namun jemputan pada saat akhir agak sukar untuk kita memenuhi undangan tersebut ekoran bertembung komitmen dengan program terdahulu.

"Setelah undangan gagal dipenuhi kerana silang komitmen tadi, kita dibidas pula sebagai penakut, tidak berani. Saya kira, sikap sedemikian sangat tidak wajar," katanya.

Lihat Komen
ADS