Saya halalkan, kata pemilik susu
Isu orang ramai mengambil susu tanpa kebenaran pada sebuah lori yang terbalik di Bachok, Kelantan dianggap sudah selesai kata pemilik muatan itu, Azizan Zainuddin, 57.
Sinar Harian memetik Azizan berkata dia menghalalkan baki susu yang belum dipulangkan orang ramai walaupun baru menerima satu pertiga dari jumlah keseluruhan.
"Sebahagian susu yang dihantar semula oleh orang ramai ke lokasi lori terbalik masih berada di balai polis.
"Ramai yang menghubungi saya, saya beritahu mereka yang ambil sikit-sikit dan yang tin kemek tu saya halalkan.
"Saya pun dah penat nak jawab panggilan dan pertanyaan orang ramai, anggaplah perkara ini dah selesai," katanya.
Dalam kejadian jam 4 petang Rabu lepas, lori dipandu anak Azizan, Mohd Baihaki, 25, yang membawa muatan 1,200 kotak susu terbalik dan susu 'lesap' diambil orang ramai.
Menurut Azizan stok susu dari Lembah Klang itu untuk dihantar ke stor di Pengkalan Chepa.
Semalam, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah memberitahu Malaysiakini kertas siasatan mengenai perkara itu telah dibuka.
"Pihak polis akan mengesan pihak yang terlibat, kita tak tahu sama ada wujud salah faham atau sebaliknya.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri," katanya.

