Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak salah exco bukan Islam rasmi program adat - Raja Teromba

Tiada masalah bagi exco kerajaan negeri bukan Islam untuk merasmikan program yang berkait dengan adat pepatih, kata Felo Penyelidik Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Rosli Saludin.

Rosli yang terkenal dengan julukan Raja Teromba berkata penganjur sewajarnya mengadap pemimpin adat bagi memaklumkan tujuan penganjuran program berkenaan.

"Tiada masalah exco bukan Islam rasmi dan malah boleh dijadikan model bahawa setiap rakyat perlu ambil tahu adat kaum lain. Ini boleh bawa kepada penyatuan kaum.

"Kita sendiri pun banyak gunakan sumber rujukan orang bukan Islam dalam hal adat, sejarah dan warisan. 

"Contohnya nasihat dari tulisan (MB) Hooker, (RO) Winstedt, Tan Sri Khoo Kay Kim dan ramai lagi. Malah Rembau banyak rujuk buku (Thomas) Parr dan (Charles) Murray, jadi tiada masalah di sini malah boleh jadi interaksi berbagai kaum.

"Apa yang penting di sini saling memahami, majlis buat di Luak Jempol penganjur perlu mengadap Penghulu Luak Jempol, Lembaga dan kepimpinan adatnya. 

"Beri pemahaman kepada mereka akan tujuan penganjur dan dalam hal ini penting biar mati anak jangan mati adat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Rosli berkata demikian sebagai mengulas penganjuran Forum Ibu Soko di Batu Kikir, Kuala Pilah yang dijadualkan 6 Ogos nanti dan bakal dirasmikan Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Kerajaan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee.

Terdahulu, keputusan penganjur memilih exco negeri bukan Melayu itu bagi merasmikan program berkenaan mendapatkan kritikan Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan yang juga bekas menteri besar Negeri Sembilan.

"Adat pun panggil DAP yag resmi (rasmi). Takkan tak boleh jemput sekurang-kurangnya Dato Penghulu Luak Jempol, buek (buat) di kawasan beliau. 

"Ini bukan ke fungsi Exco Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu NS (Negeri Sembilan), Adun Pilah," tulis Mohamad pada suatu hantaran Facebook.

Sementara itu Rosli berkata, program berkenaan elok diteruskan dan sewajarnya exco negeri itu diberi peluang untuk merasmikannya kerana niat penganjuran majlis tersebut adalah baik.

Katanya, lagi seeloknya semua pihak perlu berlapang dan tidak berprasangka buruk terhadap pengajuran program berkenaan.

"Penganjur perlu mengadap Penghulu Jempol dan lembaganya untuk jernihkan suasana. 

"Kita perlu berfikir dalam skop yang terbuka yang boleh membawa kebaikan.

"Teromba adat ada mengatakan bahawa bersatu kita teguh, bercerai kita roboh, bersatu bertambah mutu. Mari fahamkan betul-betul," katanya lagi.

Seni teromba di Negeri Sembilan ialah genre puisi tradisional Melayu yang merangkumi peraturan dan undang-undang kehidupan yang disampaikan dalam adat perpatih.

Pada Oktober tahun lalu, Jabatan Warisan Negara menobatkan Rosli sebagai tokoh warisan kebangsaan bagi kategori orang hidup.

Lihat Komen
ADS