Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan taksiran bilik darjah dalam 7 bahasa itu palsu - Maszlee

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menafikan dakwaan wujudnya laporan pentaksiran bilik darjah sekolah rendah yang diterbitkan dalam tujuh bahasa tempatan, bertegas ia adalah tidak benar sama sekali.

“Menurut maklumat, itu bukan dari Kementerian Pendidikan,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di Pusat Perubatan Universiti Malaya Kuala Lumpur semalam.

Dakwaan yang mengundang reaksi ramai itu dikicaukan di Twitter menerusi ciapan peguam Shaharudin Ali pada 1 Ogos lalu.

“Saya terkejut besar melihat pelaporan pentaksiran bilik darjah oleh sekolah-sekolah rendah sudah diterbitkan dalam tujuh bahasa tempatan.

“Ini hal rasmi. Apa jadi dengan Bahasa Kebangsaan dan Dewan Bahasa Pustaka (DPB),” dakwanya mempertikaikan penggunaan bahasa majmuk dalam laporan itu.

Shaharudin pada ciapan itu juga menyertakan gambar laporan pentaksiran bilik darjah yang tertera nama sekolah "SK Taman Permai."

Bagaimanapun, carian Malaysiakini mendapati laporan pentasiran bilik darjah yang disiarkan ciapan itu bukan dokumen betul, manakala kedudukan sebenar sekolah itu juga tidak dapat dikesan kesahihannya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS