Muhyidin: Ujian sampel virus H5N1 di seluruh negara
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan melakukan ujian pensampelan unggas di seluruh negara bagi mengesan virus H5N1, pembawa penyakit selesema burung.
Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengarahkan Jabatan Perkhidmatan Haiwan melakukan ujian pensampelan unggas di seluruh negara bagi mengesan virus H5N1, pembawa penyakit selesema burung.
"Dulu kawasan bermasalah sahaja, sekarang setiap negeri kita buat pensampelan," kata menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Langkah itu berikutan penularan penyakit selesema burung di Perak dengan tiga lagi kawasan disahkan dijangkiti virus berbahaya itu iaitu Changkat Legong dekat Gopeng dan Titi Gantung di Bota dan Taman Lapangan Perdana di Ipoh.
Satu lagi kawasan yang diserang wabak itu ialah Taman Ecopark Bukit Merah Laketown Resort dekat Taiping.
"Kita bersyukur kerana tidak ada orang yang terkorban setakat ini," kata Muhyiddin.
Menurut laporan Bernama, Muhyiddin berkata semua sampel yang dikutip di seluruh negara itu akan diuji di makmal-makmal Jabatan Haiwan di Ipoh, Petaling Jaya dan Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang.
"Bermakna jumlah sampel akan menjadi lebih banyak lagi, sekarang pun dan mencecah berpuluh ribu. Tetapi setakat ini kita boleh uruskan lagi," katanya.
Muhyiddin berkata kementerian akan menyediakan pelan yang komprehensif termasuk menggembleng tenaga pelbagai agensi bagi menghadapi kemungkinan penyakit itu menular ke seluruh negara.
Beliau berharap semua kerajaan negeri mencontohi langkah pihak berkuasa di Kuala Lumpur dan Perak yang mengharamkan penyembelihan ayam dan itik di pasar.
Ekoran penemuan kes di tempat masing-masing, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur telah menyediakan rancangan membina pusat penyembelihan pusat dan Perak juga mengumumkan rancangan serupa semalam.
"Saya fikir elok kalau semua negeri buat macam itu, tak payah tunggu masalah timbul," katanya.
Muhyiddin berkata langkah itu tidak akan menjejaskan peniaga mereka masih boleh menjual ayam atau itik yang telah diproses.

