Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pencuri larikan pistol milik pegawai polis
Diterbitkan:  Aug 4, 2019 10:41 PM
Dikemaskini: 2:41 PM

Sepucuk pistol milik seorang pegawai kanan polis, dilarikan pencuri selepas rumah kediamannya di Perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kemumin di Padang Tembak di Kota Bharu, dipecah masuk kira-kira pukul 5.30 pagi semalam.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa yang berpangkat ASP keluar rumah untuk menunaikan solat Subuh di Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa di Kota BHaru.

Sebaik pulang ke rumah, mangsa mendapati keadaan rumahnya berselerak dan pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan diumpil di tingkap bahagian dapur.

Mangsa yang mengesyaki rumahnya sudah dipecah masuk kemudiannya membuat pemeriksaan di bahagian bilik utama dan mendapati beberapa barangan peribadi termasuk pistol milik PDRM bersama 15 butir peluru juga hilang.

Ketika kejadian mangsa dikatakan berseorangan di rumah kerana anak dan isterinya pulang ke kampung.

Sementara itu Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Azmi Abu Kassim ketika dihubungi mengesahkan mengenai kejadian itu.

Katanya kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS