Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Keputusan kabinet terhadap Lynas tepat, kata menteri
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 10:12 AM
Dikemaskini: 2:12 AM

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata langkah kerajaan membenarkan Lynas Corp mencadangkan kemudahan pelupusan kekal (PDF) ialah tepat dalam menyelesaikan isu sisa radioaktifnya.

Menurut laporan FMT hari ini, beliau menyifatkan langkah itu baik bagi pelabur lain yang mahu mengetahui status pembaharuan lesen operasi Lynas.

“Saya bertemu pelabur dalam industri bernilai tinggi yang mahu datang dan memulakan perniagaan di sini kerana mereka mahu dekat dengan Lynas disebabkan nadir bumi merupakan unsur pentig dalam industri mereka.

“Masalahnya mereka tidak pasti sekiranya Lynas akan terus ada di sini. Ini tidak baik untuk pelaburan," katanya seperti dipetik.

Laporan Malaysiakini pada 3 Ogos lalu memetik sumber, sebagai berkata kerajaan akan melanjutkan permit operasi Lynas - yang tamat 2 September ini - selama enam bulan lagi.

Lynas Corp dijangka memaklumkan kepada kerajaan satu rancangan komprehensif untuk menangani sisa penulenan air larut lesap (WLP).

Menyifatkan ia bukan keputusan yang ideal, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo bee Yin berkata keputusan kabinet akan diumumkan secara terperinci selewat-lewatnya 15 Ogos ini.

Redzuan berkata lagi, kerajaan tidak akan menggadaikan keselamatan rakyat tetapi pada masa sama isu itu tidak boleh dilihat secara emosi.

“Jawatankuasa penilaian peringkat tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengesahkan keselamatan operasi Lynas. Malah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu turut mengesahkannya.

“Jika Lynas mengikut peraturan, jadi bagaimana kita mahu berikan mereka layanan berlainan? Jika kita berbuat demikian, maka syarikat besar lain akan tertanya-tanya sekiranya mereka juga akan dilayan begitu," katanya lagi.

Beliau berkata, antara pelabur yang menyuarakan hasrat untuk membuka kilang di negara ini - memandangkan hasil nadir bumi yang dikeluarkan Lynas penting buat mereka - ialah sebuah syarikat pembuat bateri berpangkalan di Amerik Syarikat dan ia mampu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Lihat Komen
ADS