Ketua Wanita PKR Haniza Talha menyifatkan tindakan mengumpul tandatangan ketua cabang parti itu di seluruh negara sebagai tanda sokongan kepada presiden parti Anwar Ibrahim sebagai buang masa.

Sebaliknya, beliau berkata langkah tersebut hanya menimbulkan kekeliruan di kalangan akar umbi.

“Perbuatan mengambil tanda tangan tidak menyatukan, malah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli akar umbi,” katanya, lapor FMT.

Semalam, Ketua PKR Kangar Noor Amin Ahmad mendakwa seramai 198 ketua cabang parti itu menyokong penuh Anwar sebagai calon perdana menteri kelapan.

Bagaimanapun, Haniza menepis dakwaan Noor Amin itu, mengatakan jumlah itu tidak tepat kerana terdapat di kalangan ketua cabang PKR yang tidak dihubungi bagi menyatakan sokongan tersebut.

PKR memiliki 219 cabang di seluruh negara.

“Lebih baik tumpukan perhatian dan usaha kepada pembangunan negara serta menyatukan ahli parti,” katanya.

Sebelum ini, tercetus pergeseran antara Anwar dan timbalannya, Mohamed Azmin Ali selepas tersebar video seks sejenis yang dikaitkan dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Azmin menafikan sebagai pelaku dalam video itu.