Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu Jawi: MCA gesa DAP beri tekanan pada Dr M
Diterbitkan:  Aug 5, 2019 8:23 PM
Dikemaskini: 12:23 PM

DAP perlu memberi tekanan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad untuk menarik balik rancangan kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan, kata Timbalan Presiden MCA, Dr Mah Hang Soon.

Beliau menggesa Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya Lim Kit Siang mengetuai ahli-ahli parlimen daripada parti itu untuk memberikan tekanan kepada kerajaan.

"Sekiranya semua 42 anggota parlimen dari parti itu tidak menyokong Mahathir, beliau boleh ditumbangkan dengan serta-merta.

"Mereka tidak seharusnya mengkhianati 95 peratus pengundi Cina yang menyokong mereka dalam PRU14 demi kepentingan peribadi," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Chong Sin Woon menyelar beberapa pemimpin DAP, termasuk Adun Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong yang mendakwa Jawi telah diajar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina sejak enam tahun lalu.

"Saya harus mengatakan kebenaran, jadi orang ramai tidak akan dikelirukan oleh ahli-ahli politik ini. Faktanya hanya satu halaman daripada empat halaman dalam buku teks Bahasa Malaysia untuk Tahun 5 memperkenalkan Jawi dalam topik kaligrafi," katanya.

Chong (gambar atas) menambah dua halaman itu menyentuh mengenai kaligrafi Cina dan Tamil manakala halaman terakhir memaparkan perbualan antara pelajar berbilang kaum dengan guru mereka mengenai kaligrafi.

"Ia merupakan agenda politik apabila pemimpin DAP hanya menggambarkan muka surat 86 sebagai kaligrafi Jawi. Mereka mahu orang Cina membenci MCA supaya mereka boleh mengurangkan kontroversi khat ini," katanya.

Tambah Chong, pengenalan mengenai kaligrafi berbagai kaum sebelum ini bukan seperti pelaksanaan khat bagi Tahun 4 pada tahun depan yang memerlukan murid-murid belajar mengenai khat.

Chong berkata tidak seperti sebelum ini, beliau difahamkan bahawa guru-guru kini perlu menjalani latihan khas mengenai tulisan berkenaan.

Beliau seterusnya mengkritik pemimpin DAP kerana mencampurkan dua isu berbeza.

"Buang masa untuk alih perhatian orang ramai. Selesaikan isu khat adalah satu-satunya perkara yang perlu dilakukan,"kata Chong.

DAP akan bermesyuarat malam ini untuk membincangkan mengenai isu itu.

Pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil sebelum ini menyuarakan bantahan dengan alasan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular akan menambahkan beban kerja kepada pelajar.

Lihat Komen
ADS