Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah desak henti polemik tulisan Jawi di sekolah vernakular

Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menggesa semua pihak menghentikan polemik berkaitan rancangan Kementerian Pendidikan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi di sekolah vernakular.

Presidennya, Aminuddin Yahaya, berkata tulisan Jawi bukanlah perkara baru untuk masyarakat di negara ini kerana ia digunakan sejak abad kelima lagi.

“Tulisan Jawi ini sudah ada di negara ini sejak abad kelima lagi dan ini bukan perkara baru, tak sepatutnya menjejaskan sensitiviti mana-mana pihak.

“Sebab itu Ummah menegaskan, kami menyokong penuh inisiatif kerajaan dan berasakan polemik bantahan ini wajar dihentikan serta-merta,” katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Kerajaan akan memperkenalkan pembelajaran tulisan Jawi - sebanyak enam muka surat - sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Bahasa Melayu untuk darjah empat di sekolah Cina dan Tamil mulai tahun depan.

Di sekolah kebangsaan, Jawi diajar dalam mata pelajaran Pengajian Islam.

Cadangan tersebut mendapat bantahan beberapa pihak khususnya daripada kalangan orang bukan Islam.

Mengulas lanjut perkara itu, Aminuddin berkata cadangan tersebut juga selari dengan apa yang dipersetujui oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

“Sebab itu kita menyanggah apa yang dibuat oleh sebahagian NGO yang saya rasa begitu kecil seperti Dong Zong apabila mereka mengambil tindakan tidak wajar dengan memprotes cadangan kerajaan,” katanya.

Selain itu, Aminuddin berkata Ummah berasakan tulisan Jawi merupakan lambang kewujudan Islam dan orang Melayu namun ia tidak difahami ramai anak muda.

Sementara itu, pada sidang media sama, Aminuddin berkata, Ummah akan menganjurkan Konvensyen Perpaduan Ummah untuk menggalakkan penyatuan dalam kalangan organisasi Islam di negara ini.

Menurut Aminuddin, konvensyen yang dijadualkan berlangsung pada 25 Ogos di Hotel Kuala Lumpur International akan menjadi medan perbincangan isu-isu berkaitan Islam dan bangsa Melayu, melibatkan pihak berkaitan yang merentasi fahaman politik serta ideologi.

Katanya, konvensyen tersebut turut bakal menghimpunkan tokoh dan cendekiawan serta pemimpin politik.

Lihat Komen
ADS