Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PAS tidak mempunyai masalah sekiranya barisan anggota dewan undangan negeri (Adun) mereka dikehendaki mengisytiharkan harta kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Naib presidennya, Mohd Amar Abdullah berkata, jika ada peraturan yang mewajibkan berbuat demikian parti itu sedia memberikan kerjasama.

Bagaimanapun pada pandangan beliau, pengisytiharan itu sewajarnya tidak dibuat kepada umum dan sebaliknya kepada pihak kerajaan sahaja.

"Kalau ada peraturan kita kena terima, cuma pandangan saya supaya pengisytiharan itu dibuat kepada kerajaan sahaja dan tidak didedahkan kepada orang ramai.

"Kalau seseorang ada harta yang banyak dan kita isytihar kepada (khalayak) seluruh negara ia akan mendedahkan individu itu kepada kemungkinan-kemungkinan negatif.

"Tetapi kalau isytihar kepada SPRM atau kepada perdana menteri itu tidak ada masalah," katanya pada sidang media selepas merasmikan Rumah Ronald McDonald di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Mohd Amar juga timbalan menteri besar Kelantan berkata demikian sebagai mengulas saranan SPRM supaya semua Adun mengisytiharkan harta.

Terdahulu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata pihaknya sedang menjelajah ke beberapa negeri bagi mendapatkan maklum balas berkaitan pelaksanaan syor berkenaan.

Katanya, di setiap negeri mempunyai lombong, pelesenan, tanah pertanian serta alam sekitar (pembalakan) dan berisiko menjadi lubuk rasuah.

Sementara itu Mohd Amar berkata exco kerajaan negeri itu sebelum ini sudah mengisytiharkan harta masing-masing kepada menteri besar.

"Cadangan SPRM supaya semua Adun mengisytiharkan harta tu memang tidak ada masalah.

"Ini kerana kami di exco Kelantan sejak dahulu lagi mengisytiharkan harta kepada menteri besar," jelasnya.

Bagaimanapun ketika ditanya mengenai kenyataan Latheefa tentang negeri berisiko menjadi lubuk rasuah, Mohd Amar yang juga Adun Panchor tidak bersetuju dengan kenyataan itu.

"Alasan SPRM bahawa negeri adalah lubuk rasuah adalah tidak betul, namun sekiranya pengisytiharan harta itu dibuat untuk memudahkan pemantauan di buat, ia satu langkah yang baik," katanya.

Lihat Komen
ADS