Pihak Kuil Arulmigu Sri Rudra Veerama Kaliamman di Bestari Jaya hari ini mempertikaikan kenyataan polis yang mengaitkan insiden pergaduhan antara dua kumpulan dengan perarakan keagamaan.

“Kami menafikan sekerasnya-kerasnya kenyataan polis yang menyatakan bahawa pergaduhan tersebut berlaku semasa perarakan chariot kuil.

“Sebaliknya, pergaduhan tersebut berlakunya hampir tiga jam lebih awal sebelum perarakan kami menuju ke tempat insiden,” kata K Sharmila Devi, pengasas kuil kepada pemberita di sini Kuala Selangor.

Semalam Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata, pergaduhan tercetus antara dua kumpulan ketika perarakan chariot menyaksikan seorang anggota polis dan seorang mangsa awam cedera.

Menurut polis, ketika perarakan berlangsung, telah berlaku satu pertengkaran antara dua kumpulan mengenai pemasangan khemah yang akhirnya membawa kepada pergaduhan melibatkan parang.

Namun, Sharmila menjelaskan bahawa pergaduhan tersebut yang berlaku di kawasan Sungai Darah lebih kurang empat kilometer daripada pekarangan kuil.

“Perarakan kami bermula hanya 9 malam. Manakala, pergaduhan tersebut bermula dalam pukul 6 petang sebelum menjadi besar pada pukul 8 malam.

“Ketika perarakan kami sampai ke tempat insiden lebih kurang 11.30 malam bersama lebih 1,000 penganut, tiada apa-apa berlaku,” tambah beliau lagi.

Sharmila turut memaklumkan bahawa pihak polis yang datang ke kuil semalam meminta maaf dengan pihak kuil atas kenyataan yang mengelirukan.

“Mereka sudah minta maaf. Jadi, kami pun tidak perbesarkan isu ini," katanya.

Bagaimanapun, dia mengingatkan orang ramai supaya berhenti mengaitkan pergaduhan tersebut dengan kuil.

Sharmila juga mengakui bahawa pihak kuil tidak membuat laporan polis berkenaan insiden tersebut.

Dalam pada itu, polis telah menahan 31 orang setakat ini.

Polis turut merampas lima bilah parang.

Ketika ppergaduhan, seorang anggota polisberbangsa India, 34 tahun, telah cedera di belakang tapak tangan kiri dan dirawat dengan enam jahitan.

Sehingga kini terdapat seorang mangsa awam yang mengalami kecederaan akibat putus sebahagian tapak tangan kiri dan sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.