Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dasar baru ekonomi negara perlu beri kesejahteraan pada semua kaum

Dasar baru berkaitan ekonomi yang mahu diperkenalkan perlulah ditonjolkan sebagai dapat membantu semua kaum, kata pakar ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Prof Barjoyai Bardai.

Jelasnya, matlamat dasar baru itu perlu diperkukuh agar ia tidak dilihat meliputi isu perkauman sahaja seperti dasar ekonomi yang pernah diperkenalkan sebelum ini.

“Kalau kita lihat matlamatnya (dasar ekonomi sebelum ini), ia adalah untuk mewujudkan wawasan kesejahteraan namun kini ia meliputi isu perkauman.

“Jadi berasaskan keperluan, dasar ekonomi yang baru perlu ditonjolkan bagi membantu setiap kaum,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Barjoyai berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas pengerusi majlis penasihat kerajaan, Daim Zainuddin semalam yang berkata dasar baru berkaitan ekonomi negara perlu berteraskan kepada keperluan dan bukan hanya isu perkauman.

Kata Daim, kerajaan mungkin boleh memperkenalkan pendekatan baru yang mengubah kehidupan golongan semua kaum yang selama ini tidak memperoleh manfaat daripada pembangunan negara.

Sementara itu, Barjoyai berkata, terdapat beberapa perkara yang dilihat terlepas pandang oleh kerajaan bagi meningkatkan dasar ekonomi termasuklah isu gaji.

“Keadaan sekarang adalah isi rumah berpendapatan yang ditetapkan kurang RM 2, 000 tetapi tahap minimum hidup adalah RM 2,500.

“Gaji pula sudah lama tidak naik sejak 2010 dan gaji minimum pula RM 1,100. Banyak lagi perkara yang perlu diuruskan dan ia meliputi semua aspek kaum yang memerlukan,” katanya.

Pada 1976, perdana menteri kedua Malaysia, Abdul Razak Hussein memperkenalkan program sosioekonomi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan merapatkan jurang kekayaan antara masyarakat dan membantu kaum bumiputera.

Bagaimanapun, DEB ditamatkan pada tahun 1991, tetapi unsur-unsur penting masih diteruskan dalam dasar ekonomi berikutnya.

Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, masalah yang dihadapi dalam pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi adalah kerana penyalahgunaan kuasa oleh sesetengah ahli politik.

“Apa yang menjadi masalah dalam dasar ekonomi adalah kepincangan dalam pelaksanaan di mana ia telah dikorupkan oleh segelintir kuasa politik dalam menghalalkan kleptokrasi.

“Ini memberi peluang kepada mereka (ahli politik) untuk mengaut keuntungan dan meninggalkan golongan miskin yang tidak merasa apa-apa daripada dasar ekonomi itu,” katanya.

'Jangan lihat pada bilangan persatuan'

Pada Julai lalu, Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata beliau akan mempercepat peralihan daripada dasar ekonomi afirmatif berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan apabila menjadi perdana menteri.

Anwar berkata DEB yang diperkenalkan pada 1970-an sudah lapuk dan dasar itu perlu diganti dengan tekad untuk tindakan afirmatif berdasarkan keperluan yang melibatkan sektor awam dan swasta.

Beliau juga mengambil maklum kerajaan perlu mempercepatkan pengagihan dana melibatkan tindakan afirmatif.

Sementara itu, mengulas isu sama, Pakar Ekonomi Prof Shazali Abu Mansor dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) berkata, dasar baru berkaitan ekonomi harus dilihat melalui keperluan agar sesetengah kaum tidak berasa terpinggir.

“Kalau melihat isi keperluan, kaum bukan bumiputera akan melihat ada kepentingan dari sisi mereka.

“Kalau terus-terusan melihat kepada isu perkauman, mungkin hanya beri kelebihan kepada kaum tertentu sahaja,” katanya.

Tambah Shazali lagi, kerajaan juga tidak patut melihat kepada bilangan persatuan yang membantu setiap kaum dalam menentukan bantuan kepada sesuatu kumpulan dalam masyarakat.

“Tidak semestinya kaum Cina dan India yang mempunyai banyak persatuan serta NGO bagi membantu makanya mereka perlu dipinggirkan.

“Sesiapa sahaja tidak kira kaum kerajaan kena bantu semua,” katanya.

Lihat Komen
ADS