Piagam Umno-PAS muktamadkan strategi tak lawan sesama sendiri
Piagam Umno-PAS yang bakal dimeterai bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 antara lainnya akan memuktamadkan strategi tiada pertembungan sesama sendiri antara dua parti itu.
Malah menurut Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, piagam yang akan ditandatangani pada 14 September depan itu juga melibatkan kerjasama dengan antara BN dan Gagasan Sejahtera.
"Kita muktamadkan hanya akan ada pertembungan dua penjuru yang mana semua pihak akan duduk berbincang mengenai calon yang akan bertanding dan memastikan tidak ada pertembungan berlaku antara dua parti ini.
"Kerusi yang dimenangi kedua-dua parti dalam PRU14 akan diteruskan (bertanding) oleh parti terbabit, kecuali jika ada sebarang perundingan lain dan kita akan berbincang untuk menentukan calon yang akan bertanding bagi kerusi yang tewas.
"Pada dasarnya, Umno ada 38 kerusi (Parlimen) manakala PAS ada 18 kerusi yang akan terus diwakili oleh kedua-dua parti," katanya, petik laporan BH Online, hari ini.
Anggota parlimen Kota Bharu itu berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program lawatan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, di tapak insiden kebakaran kediaman di Kampung Dusun Muda, Kota Bharu.
Sementara itu Takiyuddin berkata intipati lain dalam piagam itu termasuk usaha memantapkan hubungan kedua-dua parti di peringkat negeri dan kawasan.
Katanya, kandungan lebih lanjut akan diumumkan pada majlis menandatangani piagam tersebut dijadualkan berlangsung 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

