Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Saya hanya bantu siasatan SPRM, kata KSU Pelancongan

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya Isham Ishak hari ini menjelaskan laporan dirinya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.

Mengesahkan perkara itu, Isham mendakwa dirinya hanya dipanggil untuk membantu siasatan SPRM, tetapi tidak menjelaskan lebih lanjut berkenaan kes tersebut.

"Benar saya telah dipanggil oleh SPRM, perana saya membantu siasatan. Ada beza antara disiasat dan bantu siasatan.

"Saya sudah berikan maklumat yang diperlukan (kepada SPRM)," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi dilapor media sebagai berkata, Isham telah dipanggil SPRM untuk disoal siasat pada semalam dan kelmarin.

Mohammadin bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada siasatan itu berkaitan salah laku rasuah kerana belum berjumpa dengan Isham.

“Beliau dipanggil memberi keterangan semalam dan hari ini, saya tidak boleh ulas panjang mengenai perkara ini kerana belum mendapat maklumat secara terperinci. Tujuan apa beliau dipanggil pun saya tidak tahu.

“Setakat ini, saya difahamkan hanya beliau seorang sahaja (kakitangan kementerian) yang dipanggil oleh SPRM. Situasi ini tidak akan menjejaskan sebarang operasi di kementerian ini dan semuanya lancar,” katanya yang dipetik oleh Berita Harian Online.

Sementara itu Isham berkata beliau perlu tampil membersihkan namanya dan juga keluarga daripada tuduhan sedemikian.

Beliau menyifatkan perkara itu sebagai fitnah sebuah portal berita bagi memburukkan namanya serta tidak berasas.

Bagaimanapun kata Isham, beliau tidak tahu apa motif portal berkenaan membuat tuduhan itu yang dilihat bagi mengganggu tugasnya sebagai penjawat awam.

"Fitnah mengenai salah laku guna kuasa dan rasuah, kalau bersalah hari ini saya sudah dihadapkan ke mahkamah," katanya lagi.

Tambahnya, barisan KSU setiap kementerian telah berikrar untuk menjalankan tugas melalui prosedur yang betul dan teratur bersama ketua setiausaha negara (KSN).

Katanya, penjawat awam hari ini berdepan dengan cabaran untuk mempertahankan sistem pentadbiran penuh berintegriti.

Lihat Komen
ADS