Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Keputusan Mahkamah Persekutuan akan batalkan enakmen tukar agama'

Rancangan pindaan enakmen Selangor yang didakwa akan membolehkan penukaran agama kepada Islam secara sepihak di negeri itu tidak akan boleh dikuatkuasakan, kata beberapa peguam.

Menurut mereka, ini kerana keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan keperlembagaan dalam soal penukaran agama sepihak melibatkan individu bawah umur, akan melangkaui mana-mana undang-undang negeri.

"Setiap kali undang-undang menggunakan (perkataan) tunggal (singular), ia boleh bermaksud jamak (plural), dan begitu juga sebaliknya.

"Dalam kes ini, anak ialah hasil perkahwinan dua individu. Hak berkenaan kepercayaan perlu diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa, bukan seorang. Jika tidak, anda akan ada budaya 'culik'," kata peguam Rosli Dahlan kepada Malaysiakini.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada "ibu atau bapa".

Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting tahun lalu, iaitu perlembagaan tidak boleh ditafsir secara harfiah dan persetujuan kedua-dua ibu bapa diperlukan sebelum individu bawah umur menukar agama.

Keputusan itu dibuat dalam kes penukaran agama sepihak melibatkan anak-anak M Indira Gandhi dan bekas suaminya, Muhammad Riduan Abdullah.

Peguam syariah Nizam Bashir pula berkata, ini bermakna sebarang pindaan berkaitan dalam undang-undang di Selangor akan menjadi "tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan".

"Jelas, sebagai kesan daripada penghakiman itu, sebarang cadangan pindaan terhadap undang-undang negeri kepada 'ibu atau bapa' akan bertentangan dengan Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan.

"Pada dasarnya, Perkara 75 menjadikan undang-undang persekutuan diutamakan apabila undang-undang negeri bertentangan dengannya," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan pindaan itu dicadangkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan mendapat sokongan istana Selangor.

Bagaimanapun Menteri Besar Amirudin Shari berdepan bantahan daripada barisan exco dan juga adun kerajaan negeri.

Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim juga dilaporkan enggan menandatangani dokumen berkenaan pindaan itu.

Hak beragama

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan menghalang penukaran agama sepihak pada masa ini, tetapi Rosli dan Nizam berkata ia boleh diubah, ataupun dikukuhkan, jika perkara itu dibawa ke depan sekali lagi.

Rosli bagaimanapun berkata penukaran agama sepihak akan bertentangan dengan keadaan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum.

"Semua orang fikir agama mereka benar. Jadi bagaimana dengan keadaan kita sebagai sebuah negara dengan masyarakat pelbagai kaum dan agama?

"Individu itu boleh menukar agama (kepada Islam), tetapi dia tidak boleh menukar agama anaknya tanpa izin isteri, begitu juga jika keadaan sebaliknya (isteri yang mahu menukar agama anak)," katanya lagi.

Sementara itu, Nizam membangkitkan ayat 99 dan 100 surah Yunus, sambil menambah keimanan ialah "soal Tuhan".

Menurut laman surah.my, berikut ialah terjemahan ayat 99 dan 100 surath Yunus:

"Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

"Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah (melalui undang-undang dan peraturanNya); dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya)."

Walaupun pindaan enakmen itu tidak diteruskan buat masa ini, ada spekulasi bahawa menteri besar dan penyokongnya merancang untuk menyingkirkan Ng sebagai speaker.

DAP pula berkata mereka akan mempertahankan Ng.

Amirudin dijangka bertemu pemimpin Pakatan Harapan Selangor di kediaman rasminya di Shah Alam petang ini, dan kemudian menghadiri acara makan malam dengan PKR Selangor.

Lihat Komen
ADS