Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

KES NAJIB | Perbicaaan kes SRC International Najib Razak menjadi sedikit tegang hari ini ketika Ahmad Husni Hanadzlah disoal mengenai tindakannya 'menutup mulut' berhubung skandal 1MDB ketika masih menjadi menteri kewangan kedua.

Dia yang merupakan saksi ke-56 berkata, tindakannya itu disebabkan "politik" tetapi pada masa sama mendedahkan telah 20 kali membangkitkan secara peribadi kebimbangannyanya kepada bekas perdana menteri Najib Razak.

Ketika pemeriksaan balas, peguam Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan bahawa tiada sebarang catatan bertulis mengenai bantahan Husni terhadap perkara yang berkaitan dengan SRC International.

Husni secara khusus disoal mengenai pendiriannya terhadap keputusan kerajaan untuk menjamin pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International.

SRC International menerima sejumlah RM4 bilion daripada KWAP yang diagihkan menerusi dua bahagian.

Husni mula tampak marah apabila Shafee berterusan mencelah. Shafee juga kelihatan tidak puas hati dengan Husni.

Shafee Abdullah

Shafee: Anda boleh bangkitkan bantahan (di kabinet).

Husni: Memang saya boleh (buat demikian), tapi anda sendiri pun tahu, dalam politik keadaannya berbeza.

Shafee: Tak perlu ke sana (berbincang mengenainya).

Husni: Susahlah nak cerita kalau tak boleh cakap kerana akan selalu ada (faktor) 'mengapa'.

Shafee: Anda tak rasa pandangan anda itu sepatutnya dimaklumkan kepada seluruh kabinet? Bukan sahaja perdana menteri.

Husni: ...Kalau saya bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat kabinet, persepsinya akan jadi lain. Saya sudah bercakap dengan perdana menteri dan perdana menteri mempunyai kuasa penuh, beliau boleh putuskannya. Tak perlu untuk saya cakap (tentangnya) di kabinet. Sebagai orang biasa, saya takkan buat perkara tu.

Shafee: Anda tak rasa yang anggota kabinet yang lain perlu tahu?

Husni: Tak perlu tahu, bagi saya, mereka tak perlu tahu. Seperti yang saya sebut tadi, perdana menteri ada kuasa penuh, beliau boleh buat keputusan. Anda tahu, dalam politik, orang berkata itu dan ini, dan apa yang akan jadi pada kerajaan nanti?

Shafee: Anda tahu mengenai tanggungjawab kolektif?

Husni: Anda bukan dalam politik, anda tak tahu apa-apa.

Pada satu ketika, Shafee yang ketika itu menghujankan soalan kepada Husni meninggikan suaranya, dan Husni membalas: “Yang you nak marah pasal apa? Aku kenal you dah lamalah.”

Husni kekal mengatakan Najib adalah seorang yang "autokratik" berhubung isu 1MDB dan SRC International, dan kebimbangannya tidak dipedulikan bekas perdana menteri itu.

Ia di sebalik tindakannya menandatangani beberapa dokumen yang berkaitan SRC International, anak syarikat 1MDB yang kemudian diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

Bekas menteri itu berkata dia pada mulanya membangkitkan beberapa kebimbangan, tetapi kemudian berhenti berbuat demikian. "Saya tahu saya tidak dapat berbuat apa-apa," katanya.

Bagaimanapun Husni mendakwa dia telah mengarahkan pegawainya untuk memantau pergerakan dana SRC International, walaupun telah diarahkan oleh Najib untuk tidak campur tangan.

Husni dilantik sebagai menteri kewangan kedua pada 2009 dan meletakkan jawatan pada Jun 2016.

Najib berdepan tujuh pendakwaan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dari SRC International.

Beliau dituduh menerima jumlah itu sebagai sogokan bagi meluluskan pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC International daripada KWAP.

Najib menafikan sebarang salah laku atau menggunakan dana awam untuk kepentingan peribadi.

Lihat Komen
ADS