DAP S'gor tak akan sokong RUU tukar agama sepihak
DAP Selangor tidak akan menyokong sebarang rang undang-undang yang berhasrat membenarkan penukaran agama kanak-kanak di bawah umur, kata pengerusinya Gobind Singh Deo.
Beliau juga mengulangi sokongan DAP Selangor terhadap Speaker DUN Ng Suee Lim berikutan keputusan menghalang pembentangan pindaan enakmen negeri berkaitan penukaran agama sepihak kepada Islam.
"Sebarang cubaan untuk memperkenalkan undang-undang yang membenarkan seberang penukaran agama sebelah pihak di Selangor tidak mengikut perlembagaan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
"Mahkamah Persekutuan dalam kes M Indira Gandhi jelas memutuskan bahawa perkataan ibu bapa dalam Perlembagaan Persekutuan bermakna kedua-dua ibu bapa.
"Oleh itu, hak individu bagi kedua-dua ibu bapa untuk membuat keputusan mengenai agama anak-anak mereka yang di bawah umur kini dijamin oleh perlembagaan," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Gobind, yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia, berkata Perlembagaan Persekutuan adalah tertinggi dan mengatasi mana-mana peruntukan undang-undang lain yang tidak selaras dengannya.
Beliau berkata Ng selaku speaker tidak melanggar mana-mana peruntukan di bawah peraturan dewan.
"Beliau telah menjelaskan bahawa beliau menangguhkan persidangan dewan mengikut Perintah Tetap dan bahawa semua agenda telah diselesaikan. Oleh itu, ia adalah sepenuhnya bagi membolehkan beliau menangguhkan persidangan seperti yang dilakukannya, "katanya.
Kenyataan Gobind itu dibuat ketika spekulasi terdapat usaha menyingkirkan speaker berhubung isu ini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan meskipun pindaan itu mendapat restu istana namun majoriti Adun Pakatan Harapan membantah pindaan berkenaan.
Seorang Adun PKR mendedahkan ketika mesyuarat pre council, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata pindaan itu perlu untuk memenangi undi Melayu, tetapi sebahagian daripada mereka yang hadir memberi amaran ia akan mengurangkan sokongan bukan Islam.
Pada masa ini, enakmen itu berbunyi bahawa individu di bawah umur 18 tahun hendaklah mendapatkan kebenaran daripada "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam. Pindaan ini bertujuan untuk menukar perkataan tersebut kepada "ibu atau bapa."
Perlembagaan Persekutuan juga merujuk "ibu atau bapa" berkenaan persetujuan untuk penukaran agama, tetapi mahkamah tertinggi tahun lepas membuat keputusan penting dalam kes M Indira Gandhi bahawa perlembagaan tidak boleh ditafsirkan secara literal dan kebenaran kedua-dua ibu bapa diperlukan untuk penukaran agama di bawah umur.

