Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Hari ke-51: Hakim beri amaran pada Najib tentang hantaran di media sosial

LANGSUNG | Perbicaraan jenayah terhadap bekas perdana menteri Najib Razak berkaitan dakwaan salah guna dana SRC International Sdn Bhd di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur masuk hari ke-51 hari ini.

Malaysiakini membawa laporan langsung perbicaraan.

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB

  • 1 tuduhan salah guna kuasa
  • 3 tuduhan pecah amanah
  • 3 tuduhan pengubahan wang haram
  • Klik untuk perincian lanjut hakim, pasukan pendakwaan dan pembelaan


Siapa saksi yang telah meninggal dunia

5.20 petang: Pada prosiding hari ini, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain mendedahkan bahawa lima saksi dalam kes SRC International telah meninggal dunia sejak siasatan dilancarkan pada tahun 2015.

Bagaimanapun, tidak dinyatakan siapa mereka dan hubungan dengan kes itu, kecuali Azlin Alias ​​yang Rosli kenal pasti sebagai Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.

Malaysiakini menyemak dengan pihak berkuasa kemudiannya dan mendapati bahawa empat yang lain adalah:

- Bekas Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Noriyah Ahmad

- Pengarah Pendapatan Tetap KWAP, Ahmad Norhisham Hassan

- Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Zainal Abidin Osman

- Pemandu kepada setiausaha politik Najib Khairun Aseh, Izzad Izzairi Osman


Hakim beri amaran kepada Najib 

5.09 petang: Bekas perdana menteri Najib Razak diberi amaran untuk mendapatkan nasihat undang-undang sebelum membuat sebarang hantaran di dalam talian bagi mengelakkan perbuatan menghina mahkamah.

Nasihat itu diberikan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Hakim mengeluarkan nasihat keras itu setelah dimaklumkan oleh DPP V Sithambaram bahawa pihak pendakwaan telah menarik balik permohonannya untuk memaksa Najib (gambar, di atas) untuk meminta maaf atas dua hantaran di Facebook yang dianggap sebagai subjudis berhubung perbicaraan yang sedang berlangsung.

Peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah juga memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan juga menarik balik permohonan untuk menyingkirkan permohonan tuntutan oleh pendakwaan agar Najib meminta maaf.

"Posting dan komen mengenai keterangan yang dikemukakan di mahkamah, terutama oleh tertuduh, adalah sesuatu yang bersempadan dengan penghinaan mahkamah dalam pandangan saya.

"Pada masa akan datang, sesiapa yang ingin membuat hantaran itu dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat undang-undang sebelum mengambil tindakan (sedemikian). Perkara-perkara tertentu (hantaran dalam talian) mungkin melanggar undang-undang," kata Nazlan mengingatkan Najib yang duduk di kandang tertuduh.

Prosiding akan disambung semula pada 2 petang Selasa depan.


SPRM pujuk Joanna Yu bantu kenal pasti perbualan di Blackberry Mesengger

5 pm: Pegawai SPRM Rosli Hussain memberitahu mahkamah bahawa penyiasat kes SRC International telah melibatkan bekas pengurus perhubungan AmBank, Joanna Yu awal tahun ini untuk membantu mengenal pasti perbualan Blackberry Messenger antara pasukannya dan kumpulan lain mengikut perintah mahkamah.

Kumpulan lain itu termasuk ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Jho Low, Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrul Azral Ibrahim Halmi, bekas Pengarah SRC International, Terence Geh, bekas pengarah Putrajaya Perdana Bhd, Jerome Lee dan bekas pengarah urusan Ihsan Perdana Sdn Bhd, Dr Shamsul Anwar Sulaiman.

Rosli memberi keterangan bahawa mereka memanggil Yu (gambar, di atas) untuk mengenal pasti perbualannya pada 23 dan 30 Mei, berikutan permintaan penganalisis forensik digital Bank Negara Malaysia, Shuzairizman Shuib untuk membantu memenuhi perintah mahkamah.


Pegawai SPRM terima slip gaji Najib untuk tahun 2011 hingga 2018

4.51 petang: Pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain menerima slip gaji untuk bekas perdana menteri Najib Razak pada 29 Jan ketika siasatan ke atas SRC International.

Saksi ke-57 itu mengesahkan perkara ini semasa pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Mohd Yusoff.

Rosli berkata beliau menerima dokumen-dokumen itu dari Nordiana Ashar dari parlimen.

Slip gaji itu adalah untuk tahun 2011 hingga 2018.


KWAP hanya boleh sediakan salinan untuk beberapa dokumen - Pegawai SPRM

4.30 petang - Prosiding terus menyaksikan pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain mengenal pasti sekumpulan dokumen yang dirampas oleh suruhanjaya itu semasa menjalankan siasatan ke atas SRC International pada tahun 2015.

Mahkamah diberitahu beberapa dokumen yang disiasat oleh penyiasat SPRM dari Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) adalah hanya salinan dari yang asal.

Rosli dalam keterangannya mengatakan beliau telah mengarahkan pegawainya untuk mendapatkan dokumen asal dari KWAP, tetapi diberitahu bahawa KWAP hanya menyimpan salinan dokumen tersebut.

Bagaimanapun, saksi dan DPP Ishak Yusoff tidak menyatakan secara khusus apakan dokumen-dokumen tersebut semasa pemeriksaan utama.


Pegawai SPRM kenal pasti dokumen disita untuk siasatan

3.40pm - Pihak pendakwaan memanggil saksi ke-57, Rosli Hussain, yang merupakan pegawai penyiasat SPRM yang bertanggungjawab terhadap kes SRC International.

Pemeriksaan utama oleh DPP Ishak Yusof diteruskan dengan Rosli mengenal pasti dokumen yang disita oleh penyiasat SPRM dari beberapa individu dan organisasi, termasuk Ihsan Perdana Sdn Bhd dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).


Keterangan ringkas penganalisis forensik Bank Negara

3.38pm - Penganalisis forensik digital Bank Negara Shuzairizman Shuib (gambar) memberikan keterangan ringkas apabila beliau dipanggil semula hari ini.

Sewaktu disoal siasat oleh DPP Mohd Ashrof Asrin Kamarul dan peguam bela Harvinderjit Singh dalam keterangan ringkasnya, saksi ke-46 mengesahkan rekod log perbualan yang dikeluarkan dari peranti elektronik yang disita dalam serbuan Bank Negara di cawangan AmBank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Semasa serbuan itu, antara barangan yang dirampas daripada pengurus Perhubungan Ambank kemudian Joanna Yu adalah telefon Blackberry berkenaan.


3.10pm - Pendengaran bersambung dengan pendakwaan memanggi saksi ke-46, penganalisis forensik digital Bank Negara, Shuzairizman Shuib.


12.29pm - “3 petang, tiada rehat.”

Jawapan ringkas Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali itu mengundang ketawa kecil dalam mahkamah.

Hakim berkata demikian selepas DPP Ishak Mohd Yusoff mohon berehat lebih awal untuk makan tengah hari dan sembahyang Jumaat.

Prosiding petang ini akan bersambung dengan pemeriksaan utama saksi ke-57, iaitu pegawai siasatan SPRM Rosli Hussain.


SPRM tak dapat dokumen asal minit mesyuarat Najib-Nik Faisal

12.20pm - Mahkamah mendengar daripada pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangan bahawa penyiasat kes SRC International tidak dapat menemukan minit mesyuarat asal antara bekas CEO syarikat itu Nik Faisal Ariff Kamil dan perdana menteri ketika itu Najib Razak, yang dikatakan berlaku pada 7 September 2011.

Beliau berkata minit mesyuarat asal tidak termasuk dokumen yang terkandung dalam buku setiausaha syarikat yang disita oleh SPRM, sementara pasukan penyiasat tidak dapat merujuk dokumen berkenaan kepada Nik Faisal kerana dia melarikan diri ke luar negara.

Menurut Rosli, penyiasat menerima dokumen itu daripada Ismee Ismail, yang merupakan bekas pengerusi lembaga pengarah SRC International ketika dia datang ke ibu pejabat SPRM untuk merekodkan kenyataannya pada 10 Mei tahun ini.

Beliau berkata Ismee juga tidak dapat memberikan minit mesyuarat yang asal.

Untuk rekod, minit mesyuarat antara Najib dan Nik Faisal telah dimasukkan ke dalam minit mesyuarat lembaga pengarah SRC pada 13 September 2011.


12.04pm - Prosiding bersambung.


11.45am - Prosiding berehat sebentar.

Saksi lari, SPRM tak dapat salinan asal minit mesyuarat SRC


Saksi lari, SPRM tak dapat salinan asal minit mesyuarat SRC

11.35am - Pegawai Penyiasat SPRM Rosli Hussain memberitahu mahkamah bahawa para penyiasat suruhanjaya itu menerima minit untuk tiga mesyuarat lembaga pengarah SRC International pada tahun 2015 daripada bekas pengerusi syarikat itu Ismee Ismail pada 18 Julai tahun lepas.

Walau bagaimanapun, mereka tidak dapat memperolehi dokumen asalnya kerana Ismee tidak menyimpan salinan asal tersebut.

Sementara itu, cubaan untuk mendapatkan minit mesyuarat berkenaan daripada setiausaha syarikat SRC International Chee Suwen juga tidak membuahkan hasil kerana dia tidak lagi berkhidmat dengan syarikat itu dan telah menyerahkan semua dokumennya kembali kepada firma tersebut.

Dalam keterangannya, Rosli berkata pemeriksaan pada salinan fotokopi dokumen menunjukkan bahawa minit mesyuarat itu telah direkodkan oleh pengarah SRC International, Terence Geh.

Kata Rosli, memandangkan Terence Geh telah melarikan diri dan tidak dapat dikesan maka pihak penyiasat tidak dapat memperolehi salinan asal dokumen itu, manakala pemeriksaan SPRM di pejabat SRC tidak menemukan minit mesyuarat berkenaan.


11.20 pagi - Tampil berbaju biru muda, Nooryana Najwa anak perempuan kepada pasangan Najib Razak dan Rosmah Mansor kelihatan di barisan hadapan, di belakang kandang tertuduh, tempat bapanya duduk.


Lima saksi telah mati sejak siasatan SPRM

11.05am - Mahkamah dimaklumkan oleh pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain bahawa sejak suruhanjaya itu melancarkan siasatan ke atas SRC International pada tahun 2015, lima daripada saksi-saksinya telah meninggal dunia.

Dia menamakan mereka sebagai Azlin Alias, Noriah Ahmad, Zainal Abidin Osman, Ahmad Norhisham, dan Izat Izairi.


SPRM perolehi lebih 1,000 dokumen

11am - Mahkamah mendengar pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain, yang bertanggungjawab menyiasat kes SRC International Najib Razak berkata bahawa pasukannya telah memperolehi dan meneliti lebih daripada 1,000 dokumen dalam siasatan mereka terhadap kes itu.

Rosli (gambar, tengah) yang juga pegawai Bahagian Operasi Khas (SOD) SPRM itu berkata dokumen-dokumen tersebut diperolehi dari institusi kewangan, Kementerian Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan, SRC International, Gandingan Mentari, Ihsan Perdana Sdn Bhd, dan banyak lagi.

Menurut keterangannya hari ini siasatan tersebut telah dilancarkan pada tahun 2015 berikutan laporan yang dibuat oleh pegawai SPRM Prem Raj daripada Bahagian Forensik Perakaunannya pada 3 Julai 2015.

Siasatan itu dijalankan mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009, AMLATFAPUAA, dan Kanun Keseksaan.

Rosli selanjutnya memberitahu mahkamah bahawa beliau dibantu oleh pegawai dari SPRM SOD, Bahagian Perakaunan Forensik, Bahagian Siasatan dan para pegawai SPRM dari pejabat negeri suruhanjaya itu di Semenanjung Malaysia.


Pegawai penyiasat SPRM masuk ke kandang saksi

10.51am - Saksi pendakwaan ke-57, Pegawai Penyiasat SPRM, Rosli Hussain, mengangkat sumpah sebelum mengambil tempat duduk di kandang saksi.


Adnan Yaakob kelihatan di galeri awam

10.48am - Prosiding bermula dan bekas perdana menteri Najib Razak memasuki kandang tertuduh.

Awal pagi ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali hadir bagi perkara jenayah berasingan sebelum beliau dapat mendengar perbicaraan kes menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Turut kelihatan di galeri awam ialah bekas menteri besar Pahang Adnan Yaakob.


Pegawai penyiasat SPRM akan beri keterangan

8.30am - Semalam, saksi ke-56 bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah selesai memberikan keterangannya, bermaksud pendakwaan telah mengemukakan hampir semua saksi-saksinya di mahkamah.

Pada hari ini pula, pegawai penyiasat (IO) SPRM dijangka memberi keterangan lisan mengenai siasatan terhadap penyalahgunaan kuasa, jenayah pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan RM42 juta dari SRC International, bekas anak syarikat pelaburan negara kontroversi, 1MDB.

Bagaimanapun, IO SPRM bukanlah orang yang terakhir memberikan keterangan saksi sekiranya peguam bela Najib memilih untuk memanggil bekas menteri kabinet hadir memberi keterangan.

Semalam, peguam bela utama tertuduh Muhammad Shafee Abdullah memberitahu media bahawa pembelaan boleh menghubungi menteri kabinet tersebut, untuk hadir ke mahkamah memberi keterangan lisan mengenai mesej teks telefon yang dikatakan mengancam membuat pendedahan terhadap Najib ketika beliau menjadi perdana menteri.

Semasa pemeriksaan balas semalam, Shafee telah menyoal Husni sekiranya saksi itu telah menghantar mesej sedemikian kepada bekas menteri kabinet yang lain.

Dalam jawapannya, Husni memberitahu mahkamah beliau tidak dapat mengingat jika telah menghantar mesej yang dimaksudkan itu.


 

Lihat Komen
ADS