Undi 18 tahun: Remaja mahu pendedahan, taklimat proses pilihan raya
Jika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam tempoh empat tahun lagi, remaja yang berumur 14 tahun sekarang bakal menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi buat kali pertama.
Melihat kepada umur itu mungkin ada yang berpendapat mereka terlalu muda untuk membuat keputusan dalam menentukan pembentukan negara bagi tempoh lima tahun akan datang.
Namun, bagi golongan remaja ini mereka melihat keputusan kerajaan menurunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun sebagai satu peluang untuk menyuarakan pendapat selain menjadi sebahagian daripada pembuat keputusan dalam memilih kerajaan.
Pelajar Tingkatan Dua Siti Sara Dina Mohd Fairoz, 14, berkata penurunan had umur itu mendorong golongan muda untuk turut serta dalam pembentukan negara yang mana sebelum ini mereka tidak mengambil tahu langsung berkenaan prosesnya.
"Secara jujurnya saya belum bersedia untuk menjadi pengundi bila umur genap 18 tahun nanti. Sebab waktu itu saya baru sahaja habis sekolah dan tidak berfikir langsung pasal politik, parti yang bertanding dan sebagainya.
"Kalau saya berpeluang mengundi pun mungkin sebab saya ikut kawan. Tapi, kami masih mempunyai masa untuk mendalami proses pilihan raya dan seterusnya pembentukan negara. Ia mungkin akan memudahkan kami untuk membuat pilihan apabila tiba masanya nanti," katanya kepada Bernama.
Siti Sara Dina berkata pihak sekolah dan kerajaan perlu memainkan peranan dengan menganjurkan taklimat berkaitan proses pilihan raya dan bagaimana pembentukan sesebuah negara itu sebagai pendedahan kepada golongan muda.
Mengakui hanya mempunyai pengetahuan asas tentang politik negara, Nurmuzfirah Mohamed Rabi, 16, berkata pihak sekolah perlu memberikan lebih pendedahan kepada para pelajar dan menyediakan banyak maklumat berkaitan politik dan isu-isu semasa.
Ditanya mengenai cadangan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, pelajar Tingkatan 4 Methodist Girl School itu berkata perkara itu ada baik dan buruknya.
"Dari sudut positifnya suara kami lebih didengari. Jika kami mempunyai seorang wakil rakyat yang umurnya sebaya, saya rasa ia lebih mudah untuk dia membawa suara golongan muda. Saya berpendapat wakil rakyat itu akan lebih dekat dengan kami.
"Namun, kalau dari segi umur tu bagi saya terlalu muda. Mungkin wakil rakyat itu akan sedikit ‘struggle’ sebab banyak yang dia perlu 'catch up' untuk bergerak seiring dengan mereka yang lebih dewasa. Dari segi kematangan dan pemikiran juga perlu diambil kira sebab umur 18 tahun itu mungkin ada yang belum matang," katanya.
Sementara itu, seorang guru Sarah Majidah Mohd Rozani, 32, berkata ilmu pengetahuan dan fakta berkaitan politik serta pembentukan negara banyak diperoleh dalam mata pelajaran Sejarah.
Beliau berkata dalam era maklumat di hujung jari, para pelajar tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan informasi kerana ia boleh diperoleh dari Internet dan pembacaan surat khabar serta portal berita.
"Pengetahuan berkaitan politik negara yang fakta mereka boleh dapat dari mata pelajaran Sejarah di sekolah tapi kalau pengetahuan politik macam khabar angin dan gosip diperoleh daripada ibu bapa dan media massa. Pelajar sekolah ni adalah sebut pasal pemimpin-pemimpin politik tetapi cara mereka cakap itu seperti orang dewasa duduk bersembang," katanya.
Pada 16 Julai lepas, sejarah baru tercipta dengan lulusnya pindaan Perlembagaan Persekutuan di Dewan Rakyat bagi menurunkan had umur kelayakan mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun.
Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu memperoleh masing-masing sokongan 211 daripada 222 ahli Parlimen selepas dua kali undi belah bahagi dilakukan iaitu lebih dua pertiga persetujuan ahli Dewan Rakyat.
Selain menurunkan umur warganegara layak mengundi dari 21 tahun kepada 18 tahun, pindaan itu turut mencadangkan penurunan umur warganegara yang layak menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri kepada 18 tahun, serta mereka didaftarkan secara automatik sebagai pemilih.
- Bernama

