Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Didakwa berbohong, Najib kongsi foto kesan tembakan
Diterbitkan:  Aug 9, 2019 4:12 PM
Dikemaskini: 8:13 AM

Bekas perdana menteri Najib Razak berkongsi gambar yang menunjukkan lubang peluru di tingkap di pejabatnya di Pekan, Pahang.

“Ada yang tuduh saya menipu mengenai ancaman keselamatan yang berlaku pada tahun 2017.

“Ok. Saya sambung pendedahan ini.Dengan gambar sekali.

“Ini juga antara sebab perlindungan keselamatan UTK kepada saya ditingkatkan antara 2017 ke 2018,” katanya dalam satu catatan di Facebook.

"Ini adalah salah satu sebab mengapa perincian keselamatan UTK (pasukan gerak khas) meningkat dari tahun 2017 hingga 2018," katanya pada petang ini.

Najib, yang juga ahli parlimen Pekan, mendedahkan kejadian itu semasa sebuah forum di Kuala Lumpur pada malam Rabu lalu.

Bekas perdana menteri itu berkata tembakan itu disasarkan di tepi kaca cermin bilik pejabatnya.

Menurutnya, tembakan yang disasarkan ke arah biliknya di pejabat Umno Pekan seolah-olah satu amaran kepada dirinya.

Najib tidak berada di pejabat berkenaan ketika kejadian itu tetapi sejak kejadian itu, kawalan keselamatannya diketatkan lagi.

Najib turut memberitahu bahawa perkara itu telah dilaporkan kepada pihak polis, namun sehingga kini pihak berkuasa belum dapat mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab.

Menulis lanjut hari ini, beliau berkata, dirinya bukan bertujuan mengungkit kisah lama tetapi cuma ingin menjelaskan persepsi yang dimainkan oleh pemimpin Pakatan Harapan bahawa beliau tidak mesra rakyat atau rakyat tidak mudah mendekatinya.

“Bukan peribadi saya untuk tidak mesra rakyat.

“Najib Razak sejak jadi ADUN dan MP Pekan sampai hari ini... rakyat diutamakan. Setiap hari.

“Walaupun berdepan dengan ancaman atau cabaran politik dahulu sehingga kini. Ya, pahit manis, Najib Razak tetap berjuang dan bersama rakyat. Ini janji dan komitmen saya,” katanya.

Lihat Komen
ADS