Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tafsiran 'ibu dan bapa' jelas dalam perlembagaan, kata pakar

Profesor Undang-undang, Universiti Malaya Prof Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi berpendapat isu penukaran agama bawah umur secara sepihak tidak sepatutnya timbul berikutan tafsiran mengenai perkataan 'ibu bapa' telah dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menurut pakar perlembagaan itu, kuasa sesebuah negeri tidak lebih tinggi berbanding Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi dalam Malaysia.

"Tiada persoalan siapa yang lebih berkuasa dalam isu agama. Perlembagaan Persekutuan lebih tinggi berbanding enakmen negeri. Kuasa negeri dalam soal agama terhad kepada 25 tajuk sahaja di bawah Jadual 9 Senarai ke-2.

"Walaupun bidangkuasa negeri mempunyai kuasa ke atas 25 tajuk, sebarang keputusan negeri masih tertakluk kepada semakan kehakiman oleh mahkamah sivil dengan syarat sekiranya bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini kerajaan Selangor dikatakan berhasrat meminda enakmen Pentadbiran Agama Islam untuk membenarkan seseorang yang berusia bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran dari 'ibu atau bapa'.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran "ibu dan bapa" sebelum memeluk Islam.

Mengulas lanjut, Faruqi menjelaskan bahawa tafsiran mengenai ibu dan bapa telah dinyatakan dalam perlembagaan persekutuan yang membawa maksud jamak.

"Jadual 11 Bahagian 2 (95) menyatakan bahawa undang-undang menggunakan (perkataan) tunggal (singular), ia boleh bermaksud jamak (plural), dan begitu juga sebaliknya.

"Maka, cadangan saya perkataan 'parent' dalam Perkara 12 (4) membawa maksud jamak iaitu 'ibu dan bapa'," katanya.

Tambah beliau, Perkara 12(4) Perlembagaan menyebut bahawa agama bagi seseorang yang berumur kurang daripada 18 tahun ditetapkan oleh ibu bapa atau penjaganya.

"Penukaran agama sepihak bukan soal satu agama. Ia melibatkan dua agama, dua orang ibu dan bapa. Maka, isu ini perlu mengambil persetujuan kedua-dua pihak. Bukan sepihak sahaja," tambah beliau lagi.

Lihat Komen
ADS