Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis anti-Lynas dakwa laporan polis untuk hentikan himpunan

Aktivis anti-Lynas, Tan Boon Teet menyifatkan laporan polis yang dibuat ke atasnya dan Anggota Parlimen Bentong, Wong Tack oleh penduduk sekitar Balok, Kuantan semalam sebagai usaha menggagalkan perhimpunan Lynas 18 Ogos ini.

Tan berkata, penduduk itu cuba untuk menakutkan masyarakat setempat yang akan menyertai perhimpunan itu di Taman Gelora, Kuantan Ahad depan.

“Laporan polis ini berbaur sabotaj terhadap program kita pada 18 ogos ini. Ada sesuatu niat di belakang laporan polis ini.

“Mungkin tujuan mereka cuba menakutkan penduduk daripada Balok yang kebanyakannya penduduk Melayu yang akan menyertainya pada Ahad minggu depan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Tan berkata demikian ketika ditanya tindakan penduduk tersebut yang membuat laporan polis terhadapnya dan Wong Tack kerana keduda-duanya mendakwa mereka mewakili penduduk berhubung isu Lynas Corporation Ltd.

Menurut wakil penduduk, Shaharuddin Samsudin, dua individu berkenaan serta Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh tidak mewakili penduduk dalam isu membabitkan kilang memproses nadir bumi itu.

Mengulas berkaitan perkara itu, Tan berkata beliau tidak pernah menggunakan perkataan ‘mewakili penduduk’ sebaliknya menggesa kerajaan untuk mengutamakan kesejahteraan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kita tak guna perkataan mewakili tapi kita seru kerajaan untuk memikirkan tentang kesejahteraan penduduk sekitar Kuantan,” katanya.

Buat aksi U-turn, jemput 'raja bomoh'

Berkaitan perhimpunan yang akan diadakan nanti, Tan berkata pihaknya akan mengadakan bantahan beserta pementasan bagi mengambarkan pendirian kerajaan PH pada hari ini berkaitan isu Lynas.

Katanya, sikap kerajaan PH berkaitan isu Lynas akan dipersembahkan melalui drama simbolik di mana seorang lelaki akan melakonkan watak sebagai perdana menteri dan menaiki kenderaan dengan nombor plat PH509, sebelum melakukan aksi 'U-Turn'.

Tambah beliau, kenderaan itu akan turut dinaiki individu yang memegang watak sebagai Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Selain itu, pihaknya akan menampilkan 'raja bomoh' bagi upacara simbolik untuk menyeru semua wakil rakyat PH yang pernah memperjuangkan isu Lynas untuk 'kembali ke pangkal jalan'.

“Sekarang kalau nak serah memorandum dah tak boleh pakai lagi cara tu.

“Ingat tak kuasa bomoh king cari MH370 dengan kelapa dua biji dan buluh? Kita akan tiru cara itu untuk sampaikan mesej, ke mana pergi wakil rakyat yang jadi MP. Kita seru mereka balik ke pangkal jalan, ini salah satunya,” katanya.

Tan juga menjemput semua pihak untuk hadir ke bantahan berkenaan termasuk bekas Perdana Menteri Najib Razak atau ‘bossku’ asalkan mereka faham tujuan perhimpunan itu diadakan.

Sementara itu, Wong ketika dihubung Malaysiakini tidak menolak terdapat pihak tertentu di belakang laporan polis berkenaan dan menyifatkan ia hanya sekadar membuang masa.

“Saya memang risaukan isu alam sekitar, saya bersuara untuk Orang Asli di Gua Musang, isu hutan ditebang di Sabah dan Sarawak, semua isu kita bersuara bagi memastikan kesejahteraan generasi akan datang.

“Tapi apa yang mereka buat ni buang masa dan ada tujuan tertentu. Ada seseorang dibelakang laporan polis itu,” katanya.

Lihat Komen
ADS