Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
KM Melaka: Selesaikan isu Wan Ji dengan budi bicara
Diterbitkan:  Aug 11, 2019 3:08 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Kerajaan negeri akan memanggil semua pihak yang terlibat dalam isu penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin bagi menyelesaikan perkara tersebut melalui perbincangan dan budi bicara.

Ketua Menteri Adly Zahari berharap isu berkaitan penceramah agama di negeri ini dapat diselesaikan secara budi bicara dan bukannya menerusi tindakan undang-undang.

“Boleh selesaikan menerusi budi bicara dan penambahbaikan sistem yang sedia ada, kalau ada pelanggaran peraturan, ia perlu diselesaikan menerusi perbincangan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara ibadah korban sempena sambutan Aidiladha di Masjid Al-Azim di Bukit Palah, di Melaka hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penahanan Wan Ji pada 8 Ogos oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) semasa diminta hadir ke pejabat agensi agama itu bagi memberi keterangan berhubung tindakannya memberi ceramah tanpa tauliah pada kuliah subuh di Masjid Tun Syed Ahmad Al-Haj, Bukit Beruang pada 14 Julai lepas.

Bagaimanapun, Wan Ji dibebaskan oleh Mahkamah Syariah Melaka setelah menjelaskan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Adly berkata bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang, kerajaan negeri akan menambah baik sistem sedia ada.

Beliau berkata pentauliahan penceramah agama di negeri ini akan disemak semula dan mereka yang tidak mempunyainya akan diberi tauliah untuk mengajar jika dapat memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan.

Katanya selain tauliah, penceramah yang ingin mengajar agama di negeri ini juga diberikan kebenaran khas seperti kebenaran daripada Jabatan Mufti Melaka dan tertakluk kepada beberapa perkara seperti penceramah perlu menjaga perpaduan dan menghormati pelembagaan negara.

- Bernama

Lihat Komen
ADS