Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Apa bukti Zakir Naik pengganas? - Musa Hassan
Diterbitkan:  Aug 13, 2019 10:55 AM
Dikemaskini: 2:56 AM

Bekas ketua polis negara Musa Hassan menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa pendakwah terkenal Dr Zakir Naik merupakan seorang pengganas.

Musa mengulas mengenai satu hantaran Twitter dari akaun “Harapan Malaysia Baru,” yang bertanya mengapa beliau menyokong Zakir yang diburu oleh kerajaan India.

Kata Musa, tiada bukti menunjukkan Zakir seorang pengganas.

"Zakir hanya pakar tentang perbandingan agama, beliau hanya bercakap soal itu. Apa bukti yang beliau pengganas?

"Beliau (Zakir) hanya mengetahui tentang agama, itu bidangnya," katanya lapor Sinar Harian.

Semalam, pemilik akaun itu mengkritik jawapan Musa yang menulis “Perbezaan antara orang yang berilmu dengan tidak berilmu”.

Jawapan Musa itu sebagai respons kepada pemilik akaun tersebut yang berkongsi video ketibaan Zakir yang disambut dengan meriah di Kelantan dengan kapsyen, “Adakah ini betul? Adakah kita berada di landasan yang betul?"

Musa juga menjelaskan di bawah undang-undang ekstradisi, permohonan boleh ditolak jika wujud keadaan seperti pendakwaan bersifat politik disebabkan kaum, agama, kerakyatan dan fahaman politik.

"Jika perbicaraan akan terjejas kerana ras, agama, kerakyatan dan fahaman politik dan jika dihalang oleh masa," katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga pernah menyatakan pendiriannya untuk tidak melaksanakan proses ekstradisi terhadap Zakir dengan mengibaratkan keadaan Malaysia dalam isu ini seperti "ditelan mati emak, diluah mati bapa" dan menyebabkan dirinya dalam keadaan serba salah.


Lihat Komen
ADS