Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tangani isu Zakir dengan jiwa besar, kata Mahfuz
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 11:29 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Hubungan baik antara kaum di negara ini bakal keruh jika pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) gagal berlapang dada serta berjiwa besar untuk menguruskan perbezaan pandangan, kata Mahfuz Omar.

Naib Presiden Amanah itu menjelaskan dalam setiap isu apa yang perlu diutamakan ialah kepentingan negara.

Kata Mahfuz, perpaduan, keamanan dan kedamaian hidup bersama dengan semangat saling hormat-menghormati antara satu sama lain merupakan ciri yang ada pada rakyat Malaysia.

"Amanah mengharapkan semua pihak dapat mengutamakan perundingan dan perbincangan, bukannya mempapar sikap dan watak keras dan degil," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mahfuz yang juga timbalan menteri sumber manusia membuat kenyataan itu ketika polemik mengenai Dr Zakir Naik semakin panas dan menyaksikan pemimpin kerajaan bertelagah sesama sendiri.

Ia dihangatkan lagi dengan pandangan dan kecaman dibuat pihak pembangkang dan beberapa NGO tertentu.

Mengulas mengenai isu Zakir, Mahfuz berkata sebagai individu yang diberikan taraf pemastautin tetap, pendakwah yang dikehendaki New Delhi itu wajar memahami dan menghormati keunikan kaum di Malaysia.

Pada masa sama kata Mahfuz, dia tetap tertakluk kepada perlembagaan negara ini.

"Saya percaya syarat-syarat ini sudah sedia dimaklumi oleh Zakir.

"Syarat-syarat tersebut bukanlah penghalang untuk beliau menjalankan aktiviti keagamaan, tetapi sebagai peraturan dan garis panduan bagi memastikan keharmonian dan kestabilan politik Malaysia diutamakan," katanya.

Menurut anggota parlimen Pokok Sena itu lagi Amanah berpendapat tidak wajar untuk Zakir diusir keluar, dan pada masa sama ada masa sama, katanya, tidak wajar untuk mana-mana individu yang bukan warganegara Malaysia membuat kesimpulan negatif terhadap kesetiaan mana-mana rakyat negara ini.

Berhubung kenyataan Zakir, Mahfuz berkata, Amanah berpendapat ia harus ditanggani dengan penuh hikmah.

"Sementara kami tidak bersetuju dengan tuduhan terhadap masyarakat India di Malaysia seperti yang diungkap oleh Zakir, kita juga tidak boleh bersetuju dengan desakan agar beliau dihantar balik ke India.

"Kita bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad iaitu Zakir Naik boleh terus kekal di Malaysia," katanya.

Untuk rekod, Zakir hari ini berkata kenyataannya mengenai penganut Hindu di negara ini diambil di luar konteks.

Lihat Komen
ADS