Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda PH Terengganu anggap Yew Yin biadab, bongkak

Pemuda PH Terengganu kesal sekali gus mengecam kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin, yang mendakwa anggota tentera "hanya tahu makan dan tidur".

Ketuanya, Mohd Hasbie Muda, berkata kenyataan itu merupakan ungkapan paling biadab dikeluarkan terhadap pasukan keselamatan negara yang sentiasa bersedia menjaga sempadan negara daripada ancaman musuh.

"Kewujudan dan jasa mereka mungkin tidak dirasai secara sedar oleh Koon Yew Yin, namun tidak mungkin keamanan dan keselamatan negara hari ini berlaku melalui tangan ghaib melainkan ada pasukan keselamatan yang berkorban diri dan keselesaan mereka memastikan tanah air bebas dari ancaman musuh," katanya.

Menurut Mohd Hasbie lagi, walaupun sejak PH mentadbir negara kerajaan memberikan kebebasan suara, ia sama sekali tidak wajar disalah guna oleh mana-mana pihak.

"Kebebasan bersuara yang terbuka luas setelah PH mengambil alih Putrajaya tidak seharusnya disalah guna dan dikhianati melalui kenyataan bersifat bongkak dan biadap seperti itu, apatah lagi terhadap golongan yang menjaga keselamatan negara," katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Koon dilaporkan berkata pasukan keselamatan negara tidak melakukan apa-apa kecuali makan dan tidur.

Malah katanya, hampir semua mereka tidak pernah melepaskan tembakan kecuali semasa latihan sasaran dan ada di antara mereka patut menggantikan pekerja asing di ladang Felda.

Sementara itu Mohd Hasbie berkata, tiada siapapun yang bergelar rakyat Malaysia patut mengeluarkan kenyataan bersifat menghina kepada pasukan keselamatan negara.

"Kami Pemuda PH Terengganu mengesa Koon membuat permohonan maaf terbuka kepada Angkatan Tentera Malaysia dan tidak lagi sewenang wenang mengeluarkan kenyatan yang boleh menguris hati mana-mana pihak dalam negara," tegasnya. 

Lihat Komen
ADS