Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Umno saman 3 bekas pemimpin
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 3:37 PM
Dikemaskini: 7:37 AM

Tiga bekas pemimpin Umno disaman parti itu selepas mereka didakwa melakukan pecah amanah, melanggar kontrak dan dua tuduhan lain, lapor sebuah portal berita.

Mereka yang disaman itu ialah Mustapa Mohamed, Hamzah Zainuddin dan Ikmal Hisham Abdul Aziz yang masing-masing merupakan anggota parlimen Jeli, Larut dan Tanah Merah.

Dua lagi tuduhan yang dikaitkan kepada mereka ialah pengayaan tidak wajar serta jangkaan sah.

Memetik kenyataan sumber, The Malaysian Insight mendakwa writ saman itu difailkan semalam.

“Ya, writ saman difailkan semalam terhadap Mustapa (Jeli), Ikmal (Tanah Merah) dan Hamzah (Larut) di mahkamah,” lapor portal berkenaan.

Menurut laporan tersebut satu daripada writ saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, manakala selebihnya di Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Kelantan.

Untuk rekod Mustapa dan Hamzah pernah dilantik sebagai menteri sebelum parlimen dibubarkan untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan pada 9 Mei lalu.

Ikmal Hisham pula pernah menjadi exco Pemuda Umno Malaysia.

Mereka meninggalkan Umno baru-baru ini untuk menjadi anggota parlimen bebas buat sementara sebelum akhirnya memohon menyertai Bersatu.

Saman tersebut dikemukakan Setiausaha Eksekutif Umno Mohd Sumali Reduan bagi pihak Umno dan BN.

Difahamkan belum ada tarikh ditetapkan untuk mendengar kes tersebut.

Selain Hamzah, Mustapa dan Ikmal Hisham, turut meninggalkan Umno sebelum ini ialah Abdul Latif Ahmad (Mersing), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam) Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Dr Noor Azmi Ghazali (Bagan Serai) dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah).

Lihat Komen
ADS