Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib alami konjunktivitis, perbicaraan ditangguh ke Isnin
Diterbitkan:  Aug 14, 2019 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

KES NAJIB l Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd Najib Razak ke Isnin depan kerana bekas perdana menteri itu mengalami konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah menangguhkan perbicaraan itu atas alasan kesihatan Najib dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Muhammad Shafee (foto, bawah) memohon penangguhan memandangkan anak guamnya mendapat cuti sakit tiga hari sehingga Jumaat.

“Yang Arif, pagi ini pada 7.45 pagi, saya terima panggilan daripada Datuk Seri Najib, yang jelas kedengaran tidak sihat dan beliau memaklumkan kepada saya, dia mengesyaki mengalami konjunktivitis di kedua-dua matanya.

“Ini mungkin berlaku semalaman kerana saya difahamkan oleh Dr Balqis, pakar mata dari Mid Valley, yang (jangkitan) itu dihadapi semalam,” katanya.

Muhammad Shafee juga berkata sijil sakit dan gambar keadaan mata Najib beliau terima melalui WhatsApp dan menunjukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram.

“Di pihak pendakwaan, saya mengesahkan ia kelihatan sangat serius di kedua-dua mata. Disebabkan keadaan kesihatan tertuduh, pihak pendakwaan menyokong permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan,” kata Sithambaram (foto, bawah).

Mohd Nazlan bertanya sama ada Najib boleh sembuh pada Jumaat dan Muhammad Shafee menjawab doktor menasihati anak guamnya agar tidak bersentuhan dengan sesiapa kerana keadaannya boleh berjangkit.

“Memandangkan alasan untuk permohonan penangguhan kerana masalah kesihatan dan tidak dibantah oleh pihak pendakwaan, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain untuk menangguhkan prosiding ini dan menetapkan kes pengurusan pada Isnin,” kata hakim.

Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan masih memerlukan kira-kira dua hari untuk menyoal balas saksi terakhir pendakwaan, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Pihak pendakwaan sepatutnya meneruskan pemeriksaan utama ke atas Rosli (foto, bawah) pada hari ke-53 perbicaraan kes itu hari ini.

Pada 9 pagi Isnin, pihak pembelaan dan pendakwaan akan hadir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, hakim yang akan mengendalikan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengetahui sama ada hakim akan melepaskan tarikh perbicaraan 1MDB untuk memberi laluan bagi kes SRC dihabiskan terlebih dahulu memandangkan mahkamah sekarang sedang mendengar keterangan saksi terakhir pendakwaan.

Perbicaraan kes 1MDB dijadual bermula pada Isnin. Pengurusan kes akan bermula pada 10 pagi selepas pihak berkenaan hadir di hadapan Hakim Sequerah.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga menghadapi empat pertuduhan rasuah dan 21 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

- Bernama

Lihat Komen
ADS