Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan rombakan dalam badan itu dengan melantik muka-muka baru bagi mengisi beberapa jawatan-jawatan penting.

Pelantikan itu yang berkuatkuasa hari ini adalah bagi jawatan setiausaha, bendahari dan ketua penerangan di samping setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri.

Bercakap dalam sidang media di Alor Setar, beliau yang juga Menteri Besar Kedah berkata satu jawatan baru diwujudkan iaitu Timbalan Ketua Penerangan yang termasuk dalam senarai Badan Perhubungan Umno Negeri.

Menurut laporan Bernama, mereka yang dilantik ialah ketua Umno bahagian Alor Star, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah (setiausaha); Ketua Umno Padang Serai Datuk Hadzir Ismail (Ketua Penerangan); dan Timbalan Ketua Umno Pokok Sena, Datuk Abdul Rahman Ibrahim (Timbalan Ketua Penerangan).

Ketua Penerangan sebelum ini, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin yang juga Ketua Umno dan anggota Parlimen Jerai dilantik sebagai bendahari menggantikan Datuk Mokhzani Mahathir, kata Mahdzir.

Ahmad Bashah yang merupakan anggota Exco menggantikan tempat anggota Parlimen Jerlun, Datuk Abdul Rahman Ariffin manakala Ketua Umno Pendang, Datuk Md Rozai Shafian dilantik setiausaha BN menggantikan Datuk Ahmad Lebai Sudin, Ketua Umno Pokok Sena.

"Ini akan menjadi jentera Umno sehingga pilihan raya umum akan datang," kata Mahdzir merujuk kepada susunan baru keanggotaan badan itu, dan menambah perubahan itu dibuat bagi membawa `angin' baru dalam badan tersebut.

Katanya Umno Kedah sentiasa mantap sama ada perubahan itu dibuat atau tidak dan beliau akan pastikan kerja-kerja menghadapi pilihan raya berjalan lancar.