Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ummah: Konvensyen Melayu bagi bincang ancaman terhadap Islam
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 8:53 AM
Dikemaskini: 12:53 AM

Konvensyen yang dianjurkan oleh Gerakan Pembela Ummah (Kuala Lumpur) di Kuala Lumpur pada 25 Ogos ini dijangka membincangkan "ancaman" terhadap Islam, Kristianisasi dan pindaan akta yang dikatakan akan menjejaskan kedudukan orang Melayu Islam.

Pengerusi Ummah Aminuddin Yahaya dilapor berkata, konvensyen itu juga bertujuan untuk menyatukan umat Islam di negara ini.

“Tema perpaduan itu diambil kerana kita merasakan ancaman terhadap bangsa dan agama semakin mencabar dan orang Melayu masih terpecah belah,” katanya, seperti yang dilaporkan oleh The Malaysian Insight.

Menurut Aminuddin, perpecahan umat Islam di negara ini menjadikan mereka tidak berdaya untuk mempertahankan bangsa dan agama mereka.

Menurutnya, ia juga menyebabkan pihak lain mengambil kesempatan untuk memperjuangkan agenda sendiri.

“Yang berlaku pada hari ini seperti yang dibangkitkan oleh Dong Zong umpamanya hanyalah serpihan kepada isu fundamental.

“Insiden yang berlaku mutakhir ini hanya isu kecil sahaja tetapi yang besar contohnya pemikiran liberalisme, Kristianisasi dan cadangan untuk menukar 100 akta dan undang-undang.

“Ini yang menjadi ancaman ketika ini,” katanya lagi.

Aminuddin merujuk kepada isu semasa termasuk rancangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan tiga muka surat pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 yang mendapat bantahan daripada masyarakat bukan Melayu.

Konvensyen yang akan diadakan di sebuah hotel di ibu kota itu dijangka melibatkan para pemimpin parti politik.

Lihat Komen
ADS