Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Nora Anne: Punca kematian usus bocor, tiada kesan rogol - Polis
Diterbitkan:  Aug 15, 2019 2:36 PM
Dikemaskini: 10:44 AM

Remaja warga Ireland, Nora Anne Quoirin, 15, yang hilang di hutan di Seremban ditemukan mati pada Selasa, disahkan meninggal dunia disebabkan kebocoran pada usus mungkin akibat kelaparan dan stres.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop berkata Nora Anne mungkin telah meninggal dunia dua hingga tiga hari sebelum mayatnya dijumpai dan tiada tanda-tanda perbuatan jenayah selain remaja itu tidak dirogol.

Beliau berkata demikian kepada media di Seremban hari ini susulan hasil bedah siasat ke atas mayat Nora Anne yang jasadnya ditemui pada hari ke-10 operasi mencari dan menyelamat besar-besaran yang dilancarkan oleh pihak berkuasa Malaysia.

Semasa ditanya sama ada terdapat tanda-tanda keganasan pada tubuh atau remaja itu menjadi mangsa penculikan, Mohamad menjawab tidak.

"Hasil bedah siasat dijalankan mendapati remaja itu mati akibat kebocoran usus mungkin akibat tidak ada makanan dalam tempoh yang panjang dan stres berpanjangan,” katanya pada sidang media di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan di Seremban hari ini.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja anak istimewa itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu dekat Seremban.

Proses bedah siasat mayat Nora Anne bermula 11.45 pagi semalam dan berlarutan sehingga malam tadi, diketuai pakar patologi dari Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dibantu pakar dari Jabatan Kimia, dan Jabatan Forensik Petaling Jaya.

Mengulas lanjut, Mohamad menegaskan setakat ini tiada elemen culik, dan tiada kesan rogol ditemui pada tubuh mangsa.

"Beberapa sampel (tisu) dari tubuh Nora Anne telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis lanjut," katanya.

Berhubung laporan mengenai polis Perancis telah membuka kes siasatan terhadap kes Nora Anne sebagai kes culik, Mohamad berkata beliau tidak mengetahui perkara itu.

Namun beliau berkata polis Perancis, Ireland dan England sememangnya membantu polis Malaysia dalam siasatan kes itu.

Ditanya bila mayat Nora Anne akan dituntut, Mohamad berkata ia bergantung kepada keluarga mangsa untuk berbuat demikian. 

“Tiada tempoh masa sehingga bila mayat boleh dituntut dan mereka (keluarga) boleh tuntut pada bila-bila masa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan masih dilakukan sebagai kes sebagai orang hilang.

Mayat Nora Anne ditemui pada 13 Ogos (Selasa), iaitu hari ke-10 misi pencarian, melibatkan pelbagai agensi termasuk polis, tentera, bomba, Angkatan Pertahanan Awam dan dibantu penduduk tempatan termasuk Orang Asli serta pendaki sukarelawan.  

- Bernama

Lihat Komen
ADS